MUKADIMAH
INDUSTRI pembuatan arang tradisional di Setiu, Terengganu kekal relevan dan diteruskan oleh generasi muda, walaupun terpaksa berdepan asap tebal, kerja berat dan musim tengkujuh.
Proses pembuatan menggunakan relau khas dikenali sebagai ‘gok’, dengan kayu gelam sebagai bahan utama bagi menghasilkan arang berkualiti tinggi. Walaupun dunia kian moden, permintaan terhadap arang kekal tinggi kerana aroma dan rasa unik yang tidak dapat ditandingi oleh pemanggang elektrik

SETIU: Suatu masa dahulu, industri pembuatan arang menjadi antara perusahaan penting kepada masyarakat dan kini penggunaannya masih diperlukan bagi pengusaha makanan seperti sate dan ikan bakar, kerana memberi haruman serta rasa istimewa berbanding menggunakan pemanggang elektrik
Di Setiu, pembuatan arang telah diusahakan sejak berdekad lalu dan diwariskan kepada generasi kedua atau ketiga iaitu anak serta cucu.
Meskipun perlu bergelumang dengan api, debu dan asap, bidang pembuatan arang secara tradisional di sini berjaya menjentik minat anak muda untuk bertungkus-lumus menghasilkannya sebagai sumber pendapatan.
Ketika ini terdapat lebih 50 buah relau atau dipanggil ‘gok’ (ketuhar atau tempat pembakaran arang) dimiliki kira-kira 30 pengusaha yang aktif menjalankan perusahaan arang tradisional di sekitar Kampung Telaga Putat, Kampung Telaga Papan dan Kampung Kolam.
Pengusaha, Hamid Abd. Wahab, 29, berkata, walaupun berpeluang mencari pekerjaan konvensional, dia telah jatuh cinta dengan industri kayu arang kerana didedahkan sejak kecil dan sering membantu keluarganya ketika di bangku sekolah.
“Sekarang saya dan seorang adik meneruskan perusahaan ini yang dimulakan oleh ayah. Meskipun tidak mempunyai kerja hebat, kami bangga dapat menjalankan pekerjaan tradisional ini.
“Sebagai pekerja kampung, kami perlu lebih rajin berusaha kerana hasil yang diperoleh adalah bergantung kepada apa yang dikerjakan, selain mampu menampung keperluan harian keluarga,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Telaga Papan.
Katanya, perusahaan arang perlu dipelopori golongan muda kerana ia memerlukan kudrat dari awal proses sehingga pembungkusan.
Hamid berkata, anak muda mudah mendapatkan duit hanya dalam tempoh yang singkat berbanding bekerja di bawah mana-mana organisasi.
Ujarnya, hasil yang diperoleh seseorang pengusaha adalah bergantung kepada diri mereka sendiri, jika kerap memproses maka hasilnya akan lebih banyak.
“Setiap gok mampu menghasilkan kira-kira 200 bungkus arang dalam setiap kitaran dan ia mampu menjana kira-kira RM500 hingga RM800 bagi sebuah gok.
“Macam kami anak muda di sini memilih untuk bekerja membuat arang kerana tidak perlu terikat masa bekerja sebagaimana waktu pejabat dan kami boleh bekerja mengikut masa sendiri.
“Selain itu, kami juga yang menentukan kadar gaji yang diperlukan dengan hasil keringat sendiri, selain turut dapat membuka peluang pekerjaan lain kepada golongan yang memerlukan untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya.
PERUBAHAN TEKNOLOGI

Kerja-kerja pembakaran arang memerlukan ruangan khas bagi memastikan struktur kayu masak sepenuhnya dan menghasilkan produk berkualiti.
Sekitar 1970, pembakaran kayu arang dilakukan dalam tanah yang digali di kawasan berbukit sebelum lubangnya ditimbus kembali dengan tanah liat dan dibuka semula setelah kayu masak.
Beralih ke 1980, penggunaan tong drum besi yang ditanam dalam lubang pula diguna pakai untuk proses pembakaran, namun tidak bertahan lama sebelum sistem itu berkembang kepada penggunaan gok.
“Pada 1990, gok mula digunakan dan ia kekal sehingga kini. Gok diperbuat daripada bata yang ditampal bersama tanah merah sebagai pengganti simen.
“Gok ditampal menggunakan bancuhan tanah merah tahan panas yang mana apabila proses pembakaran dilakukan, tanah tersebut mengeras berbeza dengan simen yang retak sekiranya suhu panas tinggi,” kata Hamid.
Menurutnya, pembuatan gok juga memerlukan kemahiran khusus kerana bentuknya yang separa bulat dan sekiranya silap, ia tidak mampu bertahan lama.
ASAP TEBAL
Seorang lagi pengusaha, Muhammad Muharam Abd. Wahab, 30, berkata, pada peringkat awal pembuatan arang di daerah ini, rata-rata penduduk Kampung Telaga Papan mempunyai gok sendiri berdekatan rumah masing-masing.
Seiring peredaran masa, kini gok tidak lagi dibina berdekatan rumah penduduk dengan dipindahkan ke kawasan yang jauh dari penempatan.
“Pembuatan arang ini mengeluarkan asap yang boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka yang tinggal berdekatan. Sebab itu ramai yang memindahkan kawasan operasi mereka di kawasan persendirian.
“Proses pembakaran biasanya mengambil masa sehingga tiga hari sebelum proses penyejukkan dilakukan. Ketika pembakaran ini, pelepasan asap berlaku dan bagi mengelakkan rungutan penduduk, biasanya gok dibina di kawasan jauh dari penempatan,” katanya.
POKOK GELAM, BAKAU ARANG TERBAIK

Bagi menghasilkan arang terbaik, pemilihan kayu sangat penting yang mana kayu pokok gelam atau pokok bakau adalah paling bersesuaian.
Bagaimanapun, di Setiu, pengusaha arang tidak lagi menggunakan kayu pokok bakau atas faktor tertentu dan hanya menggunakan kayu gelam atau pokok-pokok lain.
Muhammad Muharam berkata, sekiranya kayu yang digunakan tidak ‘cantik’ seperti kayu reja, ia boleh membuatkan arang kurang berkualiti yang menghasilkan percikan api ketika digunakan.
Kebiasaanya, bekalan kayu diperoleh dari sekeliling kampung atau kebun persendirian yang melakukan pembersihan dengan menebang pokok-pokok untuk proses tanaman baharu.
“Penggunaan api memainkan peranan penting bagi menghasilkan arang yang berkualiti. Sekiranya proses pembakaran tidak sekata menyebabkan kayu berkenaan separuh masak.
“Kayu yang masak sepenuhnya mampu menghasilkan arang yang bertahan lama dan tiada percikan api ketika digunakan untuk memasak,” katanya.
Proses pembuatan arang dilakukan selama dua hingga empat kali seminggu bergantung kepada saiz gok dengan setiap gok dilakukan pembakaran secara bergilir-gilir.
Pembuatan arang juga terpaksa dihentikan sementara ketika musim hujan dan musim tengkujuh, susulan tanah dan kayu yang lembab membuatkan ia tidak sesuai diproses.
Di samping itu, terdapat juga kawasan-kawasan operasi arang ini ditenggelami air sehingga pengusahanya kembali beroperasi selepas musim tengkujuh berakhir iaitu sekitar Februari atau Mac.
ARANG MASIH DIPERLUKAN
Bagi Rosni Mohamed, 42, walaupun setiap rumah mempunyai dapur gas, masih ada yang gemar menggunakan dapur arang.
Ia berikutan makanan atau air yang dimasak menggunakan dapur arang mempunyai aroma tersendiri, selain turut digunakan oleh peniaga terutama mereka yang berniaga ikan bakar dan lain-lain.
Arang mendapat permintaan yang tinggi bukan hanya di sekitar daerah ini, malah turut dihantar ke seluruh negara bagi menampung permintaan pelanggan.
“Jika diikutkan arang ini dijual pada harga RM3 kepada peraih atau orang tengah, namun di pasaran runcit pula harganya boleh mencecah kepada RM4 hingga RM5,” katanya. – UTUSAN










