KUALA LUMPUR: Rapid KL sekali lagi melangkah ke hadapan sebagai penaja utama Keretapi Sarong 2025, acara ikonik tahunan yang meraikan Hari Malaysia dengan penuh warna, gaya, dan semangat perpaduan.
Mengangkat tema “Serumpun”, edisi kesembilan tahun ini dijangka menghimpunkan lebih 18,000 peserta pada 13 September 2025.
Bukan sekadar perarakan sarong, Keretapi Sarong telah menjadi platform budaya dan gaya hidup yang merentasi generasi serta menghubungkan rakyat Malaysia dengan jiran serantau ASEAN.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan, berkata, Keretapi Sarong meraikan identiti rakyat Malaysia.
“Dengan sarong sebagai simbol kebanggaan budaya, acara ini juga menggalakkan rakyat untuk memilih pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada gaya hidup moden dan lestari.
“Tahun ini, Rapid KL berbangga untuk tampil sebagai penaja utama bersama LOCCO, demi menyemarakkan semangat ‘Serumpun’ yang menyatukan semua,” katanya dalam kenyataan.
Perjalanan penuh semangat akan bermula dari 10 stesen Rapid KL sebelum bergerak ke Stesen Bukit Bintang dan Stesen Tun Razak Exchange, lalu bergerak beramai-ramai ke destinasi kemuncak di sebuah lokasi rahsia.
Sepuluh stesen-stesen permulaan tersebut adalah seperti berikut:
• Laluan Kelana Jaya – Subang Jaya, Gombak
• Laluan Ampang / Sri Petaling – Kinrara BK5, Ampang, Hang Tuah
• Laluan Kajang – Muzium Negara, Kajang, Mutiara Damansara
• Laluan Putrajaya – Sri Damansara Sentral, UPM
Edisi Keretapi Sarong tahun ini akan menyaksikan persembahan tarian, pertunjukan fesyen pakaian tradisional, permainan interaktif dan pelbagai aktiviti menarik menanti peserta serta pengunjung di stesen-stesen utama.
Di lokasi rahsia tersebut juga Rapid KL akan turut membuka reruai khas dengan tawaran istimewa barangan eksklusif untuk peminat tegar.
Dengan sokongan penuh Rapid KL, Keretapi Sarong 2025 dijangka menjadi sambutan paling meriah, menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang sambil melakar kenangan indah Hari Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari www.myrapid.com.my, ikuti media sosial Rapid KL, aplikasi MyRapid PULSE, atau hubungi 03-7885 2585. – Utusan