PUTRAJAYA: Semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa 30 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan.
“Kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan untuk semua rakyat. Namun, pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi mengikut keperluan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Anwar berkata, harga RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula tarikh pelaksanaan manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95 dan hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi.
Hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar dan pembaca MyKad disediakan di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan
Bagi mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi. – UTUSAN