PUTRAJAYA: Pemilik akaun TikTok dikenali sebagai Rafidah Ibrahim didakwa memuat naik kandungan berpotensi mencetuskan ketegangan awam.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Putrajaya berhubung kenyataan berunsur hasutan dan provokasi di media sosial itu berkaitan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan PKR cabang Putrajaya, Mohd Hafiz Osman berkata, kenyataan dimuat naik individu terbabit mengandungi tuduhan liar, seruan untuk bertindak melawan undang-undang serta cubaan menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat.
“Individu itu telah memuat naik kandungan berbentuk provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam serta memecah-belahkan masyarakat khususnya penduduk Kampung Sungai Baru dan pihak yang terlibat dalam isu ini.
“Kenyataan yang disebarkan oleh individu itu jelas mengandungi unsur hasutan terhadap penduduk dan orang awam untuk bertindak melawan undang-undang serta seruan untuk bertindak ganas terhadap sebarang tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu di ibu Pejabat Polis Putrajaya, di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan itu dipercayai melanggar beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Ketua Biro Perpaduan PKR Putrajaya, Theventharan A. Steven Veeriah mengingatkan orang ramai untuk lebih berwaspada dalam mempercayai kandungan di media sosial tanpa usul periksa.
“Ada juga petugas awam yang cedera ketika menjalankan tugas. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mengancam nyawa. Jadi, jangan gunakan isu 3R untuk menghasut atau mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut. – UTUSAN