SELAYANG: Penyanyi dan pelakon, Rafidah Ibrahim berdepan kemungkinan diisytihar muflis serta tindakan penyitaan aset sekiranya terus berdiam diri tanpa memberi maklum balas berhubung tuntutan saman oleh ahli perniagaan, Datuk Haris Embong dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd.
Menurut Haris, 48, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Rafidah atau wakilnya berkenaan bayaran ganti rugi berjumlah RM281,200 seperti yang telah diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Julai 2024.
“Setakat hari ini, sudah 422 hari berlalu sejak keputusan mahkamah dibuat. Namun, Rafidah Ibrahim masih gagal mematuhi terma pembayaran ganti rugi seperti yang diarahkan.
“Justeru, firma guaman saya telah mengeluarkan notis tuntutan kedua pada Jumaat lalu, 19 September 2025, memberikan tempoh tujuh hari kepada Rafidah untuk mematuhi keputusan tersebut.
“Peguamcara Rafidah telah mengesahkan bahawa notis itu telah diterima pada 22 September 2025, namun sehingga kini masih tiada sebarang pembayaran dibuat,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, peguam yang mewakili Haris, Alvin Dev Singh memaklumkan bahawa pihaknya sedang menimbangkan beberapa langkah undang-undang susulan kegagalan Rafidah mematuhi keputusan mahkamah.
“Sekiranya tiada maklum balas diterima, antara tindakan yang boleh diambil termasuk mendapatkan perintah untuk menyenaraikan aset milik Rafidah atau memfailkan permohonan untuk pengisytiharan muflis terhadap beliau,” jelasnya.
Dalam pada itu, Haris turut menegaskan bahawa tindakan saman dan tuntutan yang dikemukakan tidak ada kaitan dengan sebarang kontroversi lain yang sedang melibatkan Rafidah ketika ini.
“Tindakan ini adalah semata-mata untuk membersihkan imej saya sebagai usahawan serta menjaga nama baik syarikat.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa kami tidak ada sebarang kaitan dengan mana-mana isu atau pihak, baik dari kerajaan mahupun pembangkang. Semuanya mungkin hanya satu kebetulan,” katanya.
Untuk rekod, pada tahun 2021, Rafidah telah dilantik sebagai Ketua Pemasaran secara kontrak selama dua tahun bagi mempromosikan jenama Aris Burger.
Namun begitu, kerjasama itu berakhir pada Ogos tahun sama. Tidak lama kemudian, Rafidah didakwa memuat naik dua hantaran di media sosial yang kemudiannya difahamkan menjadi punca saman fitnah difailkan terhadapnya.
Pada Mei lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Rafidah perlu membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Haris dan RM150,000 kepada Arisprop Holdings Sdn. Bhd.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan bayaran faedah lima peratus setahun sehingga penyelesaian penuh dibuat, kos guaman sebanyak RM30,000 serta fi alokator RM1,200. -UTUSAN