SEREMBAN: Prestasi pasukan Melaka FC dalam empat aksi awal Liga Super tidak menepati harapan yang diletakkan.
Presiden merangkap pemilik Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, beliau kecewa dengan situasi itu khususnya membabitkan kualiti pemain import.
Beliau berkata, walaupun tidak terbabit dalam pemilihan pemain yang dikendalikan ketua jurulatih K. Devan namun prestasi pemain import sangat mengecewakan.
“Sepatutnya mereka lebih baik daripada pemain tempatan. Keadaan ini tidak baik untuk pasukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Bersama Penaung Karate Malaysia merangkap Naib Presiden Persekutuan Karate Asia (AKF), Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Nilai di sini, hari ini.
Menurutnya, sasaran beliau terhadap pasukan Melaka FC tidaklah begitu tinggi iaitu sekadar pada kedudukan kelima atau keenam namun prestasi semasa menimbulkan persoalan.
“Saya tidak sasarkan tempat ketiga atau keempat kerana tahu tidak boleh lawan JDT (Johor Darul Ta’zim), Selangor FC dan Terengganu FC.
“Itu saja KPI (petunjuk prestasi utama) yang ingin saya lihat. Walaupun kalah saya tetap bayar gaji, malah seri pun ada bonus. Tapi kalau asyik kalah, memang ada masalah,” katanya.
Beliau menegaskan tidak teragak-agak menghantar pulang pemain import yang gagal menyerlah selain bersedia membuat rombakan termasuk dalam barisan kejurulatihan jika perlu.
Nur Azmi berkata, prestasi Melaka FC turut memberi kesan kepada pihak yang menyokong perjalanan kewangan kelab dan justeru beliau mahu perubahan segera berlaku dalam aksi seterusnya. – UTUSAN










