PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah signifikan dalam usaha menambah baik kualiti pendidikan negara sebagaimana disentuh dalam Laporan Ipsos Malaysian Education Monitor 2025.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, antara usaha yang dilaksanakan ialah memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah.
Katanya, RUU ini antara lain bertujuan menangani keciciran sekali gus meningkatkan kesaksamaan akses pendidikan untuk semua murid.
“Ia adalah satu langkah signifikan demi masa hadapan anak-anak Malaysia yang lebih baik.
“Reformasi pendidikan yang sedang berjalan akan terus diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan memberi tumpuan kepada pendidikan yang inklusif dan mampan,” katanya hari ini.
Dapatan laporan Ipsos Malaysian Education Monitor 2025 menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kesembilan daripada 30 negara yang mengambil bahagian, dengan 44 peratus responden berpuas hati dengan kualiti pendidikan negara, 29 peratus tidak pasti, manakala baki 25 peratus lagi kurang berpuas hati.
Antara perkara utama yang disentuh dalam laporan Ipsos adalah terkait kesaksamaan akses pendidikan untuk semua murid, penggunaan teknologi selamat dan kesihatan mental.
KPM berkata, pihaknya turut melaksanakan usaha peningkatan akses pendidikan berkualiti menerusi pembinaan sekolah baharu dan naik taraf infrastruktur institusi pendidikan.
Katanya, RMK13 turut memfokuskan kepada pendidikan prasekolah, penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ini termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Aspek penggunaan teknologi selamat dan kesihatan mental sememangnya menjadi perhatian Kementerian. Dasar Pendidikan Digital (DPD) memberi penekanan kepada aspek penggunaan teknologi digital secara menyeluruh, kreatif, inovatif, selamat, bertanggungjawab dan beretika.
“Manakala bagi menangani isu kesihatan mental, pengesanan awal Saringan Minda Sihat dan program intervensi dilaksanakan di semua institusi pendidikan seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, KPM berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035 sedang dimuktamadkan dan Kurikulum Persekolahan 2027.
“Kedua-duanya adalah penting dalam memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan,” katanya. – UTUSAN










