PETALING JAYA: Calon poster boy Perikatan Nasional (PN) disifatkan penting susulan maklum balas pelbagai pihak yang diterima susulan ‘Himpunan Turun Anwar’ sebelum ini.
Ahli MPT Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Afif Bahardin berkata, hasil respons pelbagai pihak menunjukkan perhatian banyak diberi terhadap persoalan kepemimpinan dan hala tuju PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Bagaimanapun katanya, calon Perdana Menteri PN sama ada daripada Bersatu atau Pas hanya akan diputuskan melalui perbincangan dan persetujuan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN.
“Isu ini walaupun bukan isu utama tetapi ia antara isu yang penting terutama apabila mendapat maklum balas banyak pihak selepas Himpunan Turun Anwar yang diadakan sebelum ini.
“Dan Bersatu sebulat suara agar kami calonkan semula bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi itu akan diputuskan (secara muktamad) di peringkat MPT PN,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam Muktamar Pas Kali Ke-66, usul bersejarah bagi mendesak Pas mempersiapkan parti untuk memimpin PN dan menampilkan calon daripada parti tersebut.
Usul tersebut mendapat sokongan sebulat suara lebih 750 perwakilan.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dalam masa yang sama berkata, sudah tiba masanya Pas mengambil alih tampuk kepemimpinan PN secara muafakat politik.
Awal bulan ini, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 turut meluluskan usul mencadangkan Muhyiddin sebagai calon PM ke-11 daripada parti tersebut. – UTUSAN










