KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad bakal melancarkan strategi transformasi menyeluruh dengan menjalankan tiga pembuktian konsep (Proof of Concept – POC), bertujuan mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia perkhidmatan pos dan logistik utama negara dalam menghadapi perubahan landskap industri yang semakin pesat.
Pelan itu merangkumi tiga inisiatif utama iaitu pengoptimuman rangkaian operasi, penstrukturan semula penghantaran mel dan perluasan model rangkaian runcit melalui rakan ejen.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, strategi baharu itu adalah kesinambungan kepada usaha transformasi yang bermula pada 2021.
Katanya, walaupun peningkatan tahap perkhidmatan dan kepuasan pelanggan telah dicapai, syarikat masih bergelut dengan cabaran kewangan yang berakar daripada perubahan struktur industri.
“Kami berada di persimpangan penting. Industri pos di seluruh dunia sedang berdepan penurunan jumlah mel tradisional, pertumbuhan pesat e-dagang, serta persaingan yang semakin sengit dalam pasaran bungkusan.
“Kami perlu mengambil tindakan berani dan berpandukan data supaya Pos Malaysia kekal relevan untuk 200 tahun lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejak 2012 katanya, jumlah mel di negara ini merosot sebanyak 79 peratus daripada 1.3 bilion kepada hanya 300 juta item pada 2024.
“Namun, alamat yang perlu diliputi di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Obligation – USO) meningkat daripada tujuh juta kepada 11 juta dalam tempoh sama, sekali gus meningkatkan kos penghantaran.
“Selain itu, trafik pelanggan di lebih 620 pejabat pos menunjukkan penurunan purata tahunan 7.8 peratus sejak 2018 dan kemerosotan semakin ketara selepas pandemik dengan penurunan sehingga 38 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, hampir separuh rakyat Malaysia dilaporkan hanya mengunjungi pejabat pos setahun sekali atau kurang.
Pasaran bungkusan pula berdepan persaingan sengit dengan lebih 100 pengendali berlesen, di samping amalan penghantaran dalaman oleh platform e-dagang.
Mengulas lanjut, Brewer turut menekankan cabaran “masking”, iaitu amalan yang mengehadkan pilihan pengguna terhadap syarikat kurier ketika membeli dalam talian.
“Masking menghalang pelanggan daripada memilih penyedia perkhidmatan kegemaran mereka. Kami sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperkukuh tadbir urus industri, termasuk melarang amalan ini supaya pengguna mendapat kebebasan sebenar,” katanya.
Bagi mengatasi cabaran struktur ini, Pos Malaysia memperkenalkan tiga inisiatif utama yang akan diuji bermula suku keempat tahun ini sehingga Januari 2026.
“Langkah pertama melibatkan penyatuan rangkaian mel dan bungkusan ke dalam sistem tunggal yang lebih cekap dan mesra alam. Sehingga kini, 45 peratus rangkaian kami berjaya digabungkan dan dijangka mencapai integrasi penuh menjelang 2028.
“Dengan mengoptimumkan rangkaian, kami boleh meningkatkan kapasiti penghantaran e-dagang, mengurangkan kos per penghantaran dan mengurangkan jejak karbon kami,” jelasnya.
Inisiatif kedua ialah percubaan penghantaran mel selang sehari selama tiga bulan bermula 1 November 2025 di kawasan Sungai Siput, Perak dan ujian ini melibatkan mel standard, bukan standard dan berdaftar.
Menurut Brewer, model penghantaran selang sehari telah digunakan dengan jayanya di negara lain, selari dengan penurunan jumlah mel dan permintaan pelanggan yang berubah.
“Ia juga membantu mengurangkan kesesakan kenderaan, pelepasan karbon, serta kos operasi,” katanya.
Sementara itu, bagi inisiatif ketiga, Pos Malaysia akan menguji model rangkaian runcit baharu di lapan lokasi terpilih iaitu Bidor, Hutan Melintang dan Menglembu, dan Jalan Chamberlain (Perak), Batu 9 Cheras, Jenjarom dan Kuala Selangor (Selangor) serta Salak Selatan (Kuala Lumpur).
Pejabat pos di kawasan tersebut akan digantikan dengan 13 pusat PUDO (ambil dan hantar) yang diuruskan ejen seperti MBE, CollectCo dan ATX.
Brewer berkata, pelan ini akan mengurangkan kos tetap, meningkatkan capaian dan menawarkan waktu operasi lebih fleksibel kepada pelanggan, selain membuka peluang baharu kepada usahawan kecil.
“Rangkaian runcit kami adalah antara yang terbesar di Malaysia, tetapi ia tidak lagi mampan dalam bentuk sedia ada.
Dengan kerjasama rakan ejen, kami dapat mengekalkan liputan nasional sambil menyokong perniagaan tempatan dengan menyediakan perkhidmatan sedia ada yang berkualiti kepada pelanggan, kecuali untuk ASNB, perbankan berkongsi, kiriman wang, pembaharuan cukai jalan dan lesen,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan tiada pemberhentian pekerja sepanjang fasa percubaan kerana menghargai sumbangan setiap warga kerja Pos Malaysia dan sebarang lebihan tenaga kerja akan diserap ke dalam bahagian lain organisasi itu.
Syarikat itu kini giat berbincang dengan kerajaan melalui SKMM dan Kementerian Komunikasi untuk memodenkan Akta Perkhidmatan Pos, memperkemas semula USO, serta memperketat kelulusan terhadap bilangan pengendali kurier yang beroperasi di Malaysia.
Brewer berkata, transformasi ini bukan sekadar pelan pemulihan tetapi pelan hala tuju masa depan yang menggabungkan keseimbangan antara tanggungjawab sosial dan kelangsungan kewangan.
“Kami membuat keputusan sukar berasaskan data untuk memastikan Pos Malaysia menjadi institusi moden yang bebas kewangan dan dapat memenuhi amanah nasional dengan mampan.
“Pos Malaysia optimis pelaksanaan strategi pembuktian konsep ini akan mewujudkan rangkaian penghantaran yang lebih hijau dan bersih, memacu pertumbuhan e-dagang serta memudahkan akses pelanggan kepada perkhidmatan pos di seluruh negara.
“Kami mahu terus menjadi tulang belakang logistik bagi ekonomi digital Malaysia dan memastikan jenama Pos Malaysia kekal sinonim dengan kebolehpercayaan, kecekapan dan inovasi,” katanya. – UTUSAN