Polis tahan sembilan lelaki ancam pemandu Myvi

Polis tahan sembilan lelaki ancam pemandu Myvi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sembilan lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian mengancam pemandu Perodua Myvi berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong dekat sini kelmarin.

Penahanan suspek berusia antara 17 hingga 21 tahun itu dilakukan di sekitar Puchong dan Shah Alam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, turut dirampas tiga buah motosikal yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Mereka dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 20 penunggang motosikal yang dipercayai mengancam seorang pemandu kereta sedang diburu polis.

Pemandu Perodua Myvi diancam kumpulan itu kira-kira pukul 4 pagi.

Berdasarkan rakaman klip video tular berdurasi 29 saat, kereta dipandu mangsa dikelilingi sekumpulan penunggang motosikal berhampiran Plaza Tol Batu 13.

Kumpulan itu dilihat bergerak rapat di kedua-dua sisi dan hadapan kereta, seolah-olah cuba mengepung serta menghalang laluan kenderaan terbabit.

Seorang daripada penunggang dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu dan menendang pintu di bahagian sama, menyebabkan pemandu memperlahankan kereta bagi mengelak insiden lebih buruk.

Muhamad Farid berkata, polis sedang mengenal pasti punca kejadian dan usaha mengesan baki suspek sedang diteruskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN