Sukar kenal pasti identiti penyerang anak Rafizi kerana CCTV

Sukar kenal pasti identiti penyerang anak Rafizi kerana CCTV tidak jelas

rafizi
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan kesukaran bagi mengenal pasti identiti dua penunggang motosikal yang didakwa menyerang anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli pada 12 Ogos lalu kerana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak jelas.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hasil penelitian daripada rakaman CCTV mendapati terdapat beberapa individu dikenal pasti terlibat dalam insiden berkenaan.

“Ada beberapa individu yang kita kenal pasti melalui rakaman CCTV.

“Bagaimanapun, rakaman CCTV itu nampaknya tidak begitu jelas sehingga (identiti) tidak dapat diketahui atau dikenali,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan tidak menerima sebarang perkembangan terbaru daripada polis mengenai kes serangan anaknya dan bercadang untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

“Tiada perkembangan atau berita daripada pihak berkuasa mengenai anak saya,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu, Mohd. Khalid berkata, polis menunggu laporan kimia berkaitan cecair yang disuntik ke dalam badan anak Mohd. Rafizi.

Beliau berkata, setakat ini seramai 19 individu  dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, mereka terdiri daripada ahli keluarga, pemandu dan pekerja serta saksi lain.

Pada 13 Ogos lalu, anak Mohd. Rafizi berusia 12 tahun diserang dua lelaki menunggang motosikal dengan disuntik cecair di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku pada pukul 2 petang di tempat menurunkan dan mengambil penumpang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN