IPOH: Perikatan Nasional (PN) disifatkan tiada arah jika gagal menamakan calon Perdana Menteri sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, dalam sistem politik Malaysia yang telah menjadi sistem dua parti atau dua gabungan, calon Perdana Menteri mesti ada.
Menurutnya, sekiranya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih tidak sepakat dalam menentukan calon, maka Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan dianggap sebagai calon Perdana Menteri.
Beliau berkata, itu adalah amalan kebanyakan negara Westminster (negara berparlimen).
“Isu calon Perdana Menteri ini sebenarnya macam isu ayam dan telur, mana yang ada dulu. Dalam sistem politik kita yang telah jadi sistem dua parti atau dua gabungan sekarang, calon Perdana Menteri mesti ada.
“Sekarang gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) sudah ada Perdana Menteri kerana ia adalah kerajaan yang memerintah dan sudah hampir pasti akan masuk tahun keempat dan akan memasuki PRU16 sebagai gabungan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini menyebabkan PN mahu tidak mahu mesti meletakkan calon Perdana Menteri, jika tidak ia akan dilihat sebagai gabungan yang tiada arah atau tanpa kepala dan sudah hampir pasti ditolak oleh pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Aziz berkata, tentu sukar bagi Hamzah untuk meyakinkan pengundi apatah lagi berlakunya konflik dalam Bersatu sendiri dan dengan Pas.
“Sebagaimana Muhyiddin (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin), Pas juga silap kerana tidak mengambil posisi Ketua Pembangkang dahulu dan hanya setakat mengambil posisi Ketua Whip (Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan),” katanya. – UTUSAN










