PM ucap terima kasih kerajaan China terhadap kemajuan Proton - Utusan Malaysia

PM ucap terima kasih kerajaan China terhadap kemajuan Proton

ANWAR Ibrahim merasmikan majlis peluncuran kilang Kenderaan Elektrik (EV) Proton di Proton City di Tanjung Malim hari ini. UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada China atas kemajuan yang dicapai oleh syarikat kereta nasional, Proton yang berjaya membina kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, Proton sekian lama medambakan pemindahan teknologi namun kerjasama sejak 1980-an dengan syarikat asing negara lain disifatkan tidak melepasi harapan yang diinginkan.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada syarikat automotif China, Geely yang merupakan rakan strategik Proton dalam menjayakan pembinaan kilang EV yang terletak di Tanjung Malim.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negara China. Dalam beberapa pertemuan kita dengan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang termasuk dua hari yang lalu. Itu kesediaan mereka untuk memberi kerjasama.

“Kesediaan mereka itu di peringkat tertentu seperti pemindahan teknologi dan memberi ruang kepada anak-anak tempatan menghasilkan produk sendiri,” katanya semasa merasmikan kilang EV itu di sini hari ini.

Kilang pengeluaran itu dianggarkan berkeluasan lebih 2.2 hektar dengan kos pembinaan mencecah hampir RM80 juta mengikut fasa dan kapasiti ribuan unit kenderaan setahun.

Kilang itu juga mengeluarkan EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 dan dijangka mengeluarkan model kedua iaitu e.MAS 5.

Zhejiang Geely Holding Group memiliki 49.9 peratus kepentingan di dalam Proton manakala selebihnya milik Konglomerat DRB-Hicom Berhad.

Anwar berkata, pembukaan kilang EV itu memenuhi dasar negara iaitu transisi tenaga, penguasaan teknologi mengikut pelan perindustrian serta Dasar Automotif Negara.

“Saya ucap tahniah bukan saja kepada rakan-rakan Geely yang memberi kerjasama. Tetapi lebih-lebih lagi anak-anak muda dan jurutera dan profesional dalam Proton kerana berjaya memecahkan rekod ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN