KUALA LUMPUR: Sebagai penghargaan menjaga kebajikan jemaah Haji Malaysia tiga tahun berturut-turut, syarikat Pintas Utama menzahirkan komitmen untuk terus menyantuni jemaah haji ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Syarikat korporat berkenaan menerima plak penghargaan di atas sumbangan berterusan syarikat itu sebagai Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) menerusi penajaan set beg kepada jemaah Malaysia sepanjang tempoh Haji 1446H/2025.
Penghargaan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama, Datuk Marhalim Mohamed pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH di sini.
Agihan set beg berkenaan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri ketika penganjuran Kursus Perdana Haji, termasuk di Selangor pada April lalu yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Marhalim berkata, sumbangan bagi tahun ketiga itu menjadi simbol kepada kekukuhan syarikat terbabit dalam menyantuni jemaah Muassasah.
“Ia amat bermakna bagi sebuah syarikat seperti Pintas Utama.
“Walaupun sederhana, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu melengkapkan persiapan jemaah sebelum berangkat menunaikan ibadah haji,” katanya dalam kenyataan.
Pintas Utama konsisten melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada rakyat merangkumi inisiatif pendidikan, kebajikan serta sokongan komuniti.
Ini termasuk berperanan sebagai syarikat berpengalaman dalam pengurusan cerun dan infrastruktur, – UTUSAN










