ALOR SETAR: Persoalan mengenai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pas khususnya yang semakin kerap dibangkitkan kebelakangan ini disebabkan rakyat dilihat hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tumpuan rakyat kini semakin terarah kepada siapa tokoh yang bakal menerajui negara pada masa hadapan khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Hari ini orang mula berbincang siapa bakal Perdana Menteri, kenapa ramai yang tanya PN siapa akan jadi Perdana Menteri dan ramai yang tanya Pas siapa tokoh Perdana Menteri.
“Kenapa mereka tanya kami, kenapa tanya PN kerana mereka dah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri yang sedia ada dan sudah tak yakin kepada Perdana Menteri yang ada,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.
Pada sidang akhbarnya, Tuan Ibrahim yang mengulas usul Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 berkata, perkara itu adalah hak parti itu atau mana-mana parti yang ada.
Namun kata beliau, sebarang keputusan penting dalam PN yang melibatkan dasar termasuk soal calon Perdana Menteri akan dibawa ke dalam mesyuarat gabungan itu.
“Bagi kita, parti-parti politik itu hak masing-masing dan kita menghormati hak masing-masing. Tapi apa-apa keputusan kita akan bawa dalam mesyuarat bersama.
“Dalam Pas, banyak tokoh yang berwibawa mampu kita tonjol. Tapi bagi kami, lebih baik kita fokus kepada menang pilihan raya dulu, tingkatkan gerak kerja berbanding bincang soal calon-calon ini yang kita akan putus dalam mesyuarat PN,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan tidak ada usul berkaitan calon Perdana Menteri yang diterima daripada perwakilan sempena Muktamar Tahunan Pas ke-71 setakat ini.
“Biasanya usul dihantar awal untuk kita bincang di peringkat jawatankuasa usul, kemudian barulah dibawa ke dalam muktamar. Kita ada mesyuarat terakhir pada Ahad ini untuk kita tengok segala usul-usul.
“Cuma sepanjang maklumat saya, tidak ada usul tersebut hingga setakat ni. Tapi ada usul tergempar,“ katanya yang tidak mengulas lanjut perkara itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Pas akan menuntut jawatan Pengerusi PN kelak sekiranya terus mendominasi gabungan itu, Tuan Ibrahim berkata, perkara melibatkan dasar akan diputus dalam mesyuarat majlis tertinggi PN.
“Majlis Presiden yang memutuskan siapa nak jadi Pengerusi PN, jadi kita akan bawa dalam mesyuarat dan selesaikan dengan baik, harmoni sebab kita lihat potensi PN hadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sangat besar,” katanya.-UTUSAN










