ALOR SETAR: Pas tidak boleh terikat dengan pendekatan lama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk mengumpul dana tinggi mencecah RM1 juta untuk setiap satu kawasan Parlimen.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan lebih rumit dengan pelbagai kaedah baharu dengan Pas perlu membuat anjakan agar mampu menerobos semua benteng, kubu dan tembok yang memisahkan parti dengan pengundi.
“Nak bertahan lagi susah daripada nak tawan, jadi kalau nak menang 60 kerusi kena ada RM60 juta.
“Itulah persiapan yang perlu dibuat oleh semua petugas Pas, pemimpin dan ahli untuk selamatkan negara ini dan janganlah bila diminta derma bagi RM20 ringgit, bagilah banyak sikit,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-71, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, wakil rakyat perlu bertindak sebagai pemudah cara dalam usaha memperluaskan pengaruh Pas dan mengukuhkan kekuatan parti untuk melengkapkan sasaran organisasi.
Katanya, setiap Unit Daerah Mengundi (UDM) tidak boleh hanya bergantung kepada jentera pilihan raya semata-mata tetapi bekerja secara keseluruhan dalam parti itu.
“Gunakan wakil rakyat dan PKWR untuk membawa mesej daripada Pas, tawaran-tawaran, kebaikan-kebaikan yang telah kita laksanakan selama 71 tahun ini kerana ada orang yang tak tahu lagi.
“Maka gunakan semua instrumen yang kita ada untuk membawa mesej ini keluar, jangan pula bawa mesej kita bertembung, sudah lah negeri kecil berkelahi pula nak tegur kena secara berhadapan jangan belakang-belakang,” katanya.
Katanya, semua pihak dalam parti itu diarahkan menyelesaikan perkara berbangkit dalam Pas sebelum menghadapi PRU16.
Katanya, masalah-masalah tersebut perlu diselesaikan segera termasuk peranan wakil rakyat Pas di kawasan masing-masing.
Katanya, Jabatan Pilihan Raya Pas menyusun pelbagai strategi untuk memenangi pilihan raya itu terutama dalam mempertahankan kemenangan sedia ada di 43 kerusi dan empat negeri dikuasai mereka.
“Kita ada enjin tambahan melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dan batang tubuh wakil rakyat itu sendiri, bagi kawasan yang ada masalah, ini tak habaq (beritahu) pun orang tahu. Ada masalah yang wakil rakyat tak masuk ke kawasan kena selesai cepat. Jangan bagi ada, di Kedah tak ada tapi negeri lain tentu ada.
“Masalah dengan Menteri Besar pun ada, jangan duk berkelahi, berhentilah berkelahi setakat hari ini cukup kita kena fokus ke depan kerana banyak lagi kerja lain nak buat,” katanya. – UTUSAN










