IPOH: Tiada minat, dibuang sekolah atau sudah bekerja menjadi antara alasan murid untuk tidak hadir ke sekolah yang dikenal pasti di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, antara usaha dibuat ialah membantu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang mempunyai kehadiran rendah agar membantu meningkatkan prestasi kehadiran murid sekolah.
Katanya, jumlah murid berisiko cicir bagi tahun 2025 ialah seramai 1,254 orang iaitu 231 murid sekolah rendah dan 1,023 pelajar sekolah menengah.
Jelasnya, murid berisiko cicir adalah mereka yang bersekolah tetapi mempunyai potensi untuk berhenti daripada pendidikan
“Golongan ini termasuk murid yang masih berada di sekolah tetapi menunjukkan tanda-tanda yang boleh menyebabkan mereka berhenti bersekolah, seperti masalah disiplin, kehadiran yang tidak menentu, atau masalah akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini ketika menjawab pertanyaan Mohamad Amin Roslan (Pas-Pengkalan Hulu) tentang keciciran murid sekolah.
Katanya, beberapa usaha juga dibuat untuk menimbulkan minat murid ke sekolah termasuklah menyediakan latihan yang lebih mudah untuk murid yang lemah dalam pelajaran dan latihan yang lebih mencabar untuk murid yang mahir. – UTUSAN