IPOH: Perak FA dan Kelantan Red Warriors (TRW) berkongsi mata apabila seri 1-1 pada perlawanan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 di Kompleks Bolasepak Perak di Chepor di sini hari ini.
Jangkaan pasukan tuan rumah akan mudah memenangi perlawanan tersebut ternyata meleset apabila pasukan pelawat berjaya memberi tentangan.
Perak ketinggalan hasil jaringan pasukan pelawat pada minit ke-16 namun diselamatkan menerusi jaringan penalti Christian Okwudiri Chukwu pada minit ke-70.
Sebelum itu, TRW berjaya bertahan dengan penjaga gol Syafiq Afifi Suhaimi berjaya menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi.
Gol TRW juga diperoleh melalui sepakan penalti Emanuel Mbarga Nkene Junior pada minit ke-16.
Perlawanan berlangsung seimbang dengan anak buah Irfan Bakti Abu Salim memberikan cabaran kepada tuan rumah.
Kehadiran Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menyuntik semangat pemain pasukan TRW yang berjaya memberi tentangan kepada Perak.
Semangat juang Perak yang turun berbekalkan kejayaan ke atas JDT 2 sebelum ini menjadi faktor membantu kebangkitan anak buah Syamsul Saad apabila memperoleh jaringan penyamaan menerusi penalti yang disempurnakan Okwudiri Chukwu.
Kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi mata apabila gagal memanfaatkan beberapa peluang gol masing-masing. – UTUSAN