Perak bentang RUU Kawalan Sekolah Agama Islam - Utusan Malaysia

Perak bentang RUU Kawalan Sekolah Agama Islam

SAARANI Mohamad membentangkan RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 pada persidangan DUN Perak hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri Perak membentangkan rang undang-undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 bagi menggantikan undang-undang terdahulu membabitkan beberapa perkara termasuk sumber kewangan yang diperoleh secara sah.

RUU itu dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memegang portfolio agama Islam negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menggantikan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.

Katanya, sejak mula berkuat kuasa lebih dua dekad lalu, enakmen sedia ada tidak pernah dipinda sehingga didapati banyak peruntukan sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dengan realiti semasa.

“Enakmen baharu ini memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk memperkasa, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di Perak. Agar lebih teratur, berkesan dan mampu memenuhi cabaran zaman,” katanya.

Katanya, antara penambahbaikkan dalam enakmen baharu adalah beberapa tafsiran seperti Ketua Pendaftar yang merujuk kepada jawatan utama yang mengetuai organisasi pendaftaran sekolah, dan tafsiran premis bagi merangkumi apa-apa bangunan yang digunakan sebagai tempat yang berkaitan dengan sekolah.

Malah katanya, bagi memastikan kewujudan sekolah lebih terkawal, mana-mana individu yang ingin membuka sekolah hendaklah membuat permohonan penubuhan terlebih dahulu seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 6 iaitu Penubuhan.

“Penambahbaikan juga dicadangkan dalam Fasal 8 dengan memasukkan kelayakan ahli Jemaah Pengurusan Sekolah dan ketetapan bahawa sumber kewangan sekolah mestilah diperoleh secara sah menurut undang-undang,” katanya.

Dijangka lebih 15 orang Ahli DUN Perak kerajaan dan pembangkang akan berbahas RUU tersebut.

Saarani berkata, RUU itu telah diangkat dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membolehkan dibentang, dibahas dan diluluskan oleh Dewan Negeri Perak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN