IPOH: Seorang penolong pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi lima pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan tuntutan elaun, dua tahun lalu.
Tertuduh, K. Rameswaran, 28, juga berdepan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara tidak jujur telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Kawalan Keselamatan dan Pemantauan Bencana semasa Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 Daerah Sungai Siput (U) dengan jumlah keseluruhan RM9,408.
Borang tuntutan tersebut dibuat atas nama lima anggota Rela sedangkan mereka tidak pernah menjalankan tugasan anggota Rela rondaan Monsun Timur Laut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Rela Perak dalam daerah Kinta antara Oktober 2023 hingga Januari 2024.
Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Nanthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM5,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh. – UTUSAN