PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penetapan 300 liter bagi program Budi Madani RON95 (BUDI95) dibuat secara teliti berpandukan keperluan 98 peratus rakyat.
Perdana Menteri berkata, beliau mengakui ada pihak yang masih mempersoalkan penetapan 300 liter keperluan bagi BUDI95 itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penetapan itu dibuat berdasarkan rekod penggunaan bahan api oleh kebanyakan rakyat setiap bulan.
“Secara purata, penggunaannya hanya sekitar 150 liter sebulan, manakala ada yang mencecah 250 liter, terutama melibatkan kes tertentu atau penggunaan lebih daripada sebuah kenderaan dalam keluarga.
“Berdasarkan rekod, 98 peratus rakyat Malaysia menggunakan sekitar 200 hingga 250 liter sahaja. Sebab itu pada peringkat awal, cadangan maksimum ditetapkan 250 liter kerana mereka yang guna lebih daripada itu sebenarnya sangat kecil jumlahnya.
“Namun selepas dibincangkan dan bagi mengelak ia menjadi isu, kita bersetuju menaikkan had keperluan kepada 300 liter,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Sementara itu, Anwar turut mengingatkan orang ramai supaya tidak gopoh beratur panjang di stesen minyak bagi mendapatkan harga RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula akhir bulan ini.
Malah beliau meminta rakyat supaya menunggu beberapa hari untuk berbuat demikian kerana harga bahan api itu akan kekal seperti yang telah dijanjikan kerajaan.
“Tidak perlu semua orang berpusu-pusu isi minyak 30 September ini. Tunggu dua atau tiga hari, harga masih sama. Kalau penuhkan tangki beramai-ramai sekali gus, ia hanya menyusahkan,” katanya. – UTUSAN