Pemuda Pas gerak bantuan banjir ke Sabah

Pemuda Pas gerak bantuan banjir ke Sabah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) bersama Jabatan Amal Malaysia akan segera menggerakkan pasukan bantuan dan sukarelawan ke kawasan terjejas banjir serta tanah runtuh di Sabah bagi membantu mangsa yang kini dalam kesusahan.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, langkah itu diambil sebagai tanda solidariti terhadap penduduk yang terjejas, selain mengajak rakyat seluruh negara untuk sama-sama menghulurkan bantuan segera dalam bentuk kewangan, makanan, pakaian dan tenaga sukarelawan.

“Tragedi banjir dan tanah runtuh di Sabah amat menyayat hati. Justeru, Pemuda Pas bersama Jabatan Amal akan menggerakkan pasukan bantuan secepat mungkin untuk berada di lapangan membantu mangsa.

“Kami juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mangsa serta memohon agar operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Muhammad Hanif turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, mematuhi arahan pihak berkuasa serta berwaspada terhadap amaran cuaca.

“DPPM menzahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap tragedi itu yang setakat ini telah menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah, meragut tujuh nyawa serta menyebabkan masih ada mangsa tertimbus.

“Kami berdoa semoga Allah memberi kekuatan kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang serta melindungi seluruh penduduk yang terkesan dengan bencana ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian tanah runtuh pagi tadi di Kampung Mook, Papar menghempap tiga buah rumah, mengorbankan dua mangsa manakala operasi SAR masih diteruskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN