PETALING JAYA: Persetujuan Kabinet memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya disifatkan pencapaian penting dalam usaha merealisasikan agenda reformasi undang-undang negara.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, langkah tersebut merupakan antara tuntutan utama yang diperjuangkan kerajaan dalam agenda reformasi institusi ketika ini.
“Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang dan anggota backbencher kerajaan, saya menyokong penuh serta mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam yang bersetuju melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Keputusan ini memenuhi salah satu agenda besar reformasi undang-undang negara dan saya percaya ia akan memperkukuh institusi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hassan, beberapa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan bagi membolehkan pelaksanaan pemisahan kuasa itu direalisasikan sepenuhnya.
“Saya sebagai seorang peguam, sedar pindaan perlembagaan perlu dibuat di Parlimen. Justeru, saya berharap semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang dapat memberi sokongan penuh bagi memastikan reformasi institusi penting negara ini berjaya dilaksanakan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan kuasa penuh membabitkan Peguam Negara dan Pendakwa Raya setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said membentangkan model-model pengasingan kuasa kedua-dua jawatan tersebut kepada Jemaah Menteri.-UTUSAN







