PETALING JAYA: Perjuangan Pas untuk mendaulatkan syariat Allah tidak boleh dipisahkan daripada parti, manakala dasar kepimpinan ulama yang menjadi terasnya terbukti berjaya melahirkan tadbir urus berintegriti dan diyakini.
Pengerusi As-Sabiqun Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, matlamat perjuangan Pas untuk melaksanakan nilai dan hukum-hukum Islam dalam pemerintahan negara ini termaktub dengan jelas dalam Fasal 5 Perlembagaan parti.
Katanya, syariat Allah bukanlah terhad kepada aspek perundangan semata-mata, tetapi ia merangkumi keseluruhan sistem tadbir urus negara yang adil, menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa.
“Mudah kata, sekiranya Pas diberi amanah untuk membentuk kerajaan di negara ini, maka sistem dan cara pentadbirannya mestilah menepati kehendak Syarak.
“Justeru itu, kita telah bersedia dengan panduan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) untuk ke Putrajaya. Begitu pula selama 35 tahun Pas mentadbir Kelantan berpandukan dasar pentadbiran ‘Membangun Bersama Islam’,” katanya dalam ucaptama Konvensyen As-Sabiqun 5.0 di Sekolah Rendah Agama Al-Akhlak Al-Islamiah (SAIF), Guar Cempedak, Kedah hari ini.
Menurut beliau, kepimpinan Pas dalam kalangan ulama sememangnya sudah menjadi amalan sejak awal penubuhannya sehinggalah Presiden Pas kini, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya, model Kepimpinan Ulama adalah satu gandingan mantap antara kepakaran alim ulama, golongan profesional dan teknokrat yang terbukti kejayaannya dalam mentadbir empat negeri di bawah pemerintahan Pas.
“Hasilnya, Pas dilihat cukup berintegriti dalam membuktikan mandat rakyat untuk mentadbir negara sebagaimana telah dibukti di empat buah negeri sekarang. Ini bermaksud, Pas telah membuktikan keupayaan melahirkan Kepimpinan Ulama yang boleh menjadi Menteri-menteri Besar dan Ahli Exco.
“Kita yakin Pas mampu dan layak memimpin negara Malaysia untuk menjadi Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Malaysia jika diberi mandat oleh rakyat,” katanya.










