KUALA LUMPUR: Pelakon, Syanie Hisham, 51, menegaskan dia tidak pernah menjadikan kecantikan sebagai sebab untuk melakukan pembedahan pintasan usus 16 tahun lalu.
Kata Syanie, sebaliknya pembedahan itu dilakukannya untuk mengatasi pelbagai isu kesihatan yang berpunca daripada berat badannya yang ketika itu mencecah lebih 200 kilogram (kg).
“Antara masalah kesihatan yang saya hadapi adalah gangguan pernafasan ketika tidur. Keadaan tersebut membuatkan saya selalu keletihan dan sering terlelap di waktu pagi. Disebabkan itu Saya juga pernah nyaris kemalangan semasa memandu dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
“Gara-gara berbadan besar jugalah saya mengalami masalah pernafasan, sukar berjalan dan batuk berpanjangan. Pada masa sama, doktor memaklumkan walaupun usia saya baru 35 tahun waktu itu, tapi keadaan jantung saya seperti individu berusia antara 60 hingga 70 tahun. Jadi katanya disebabkan itu mungkin jangka hayat saya tak lama.
“Itu semua menjadi sebab untuk saya lakukan pembedahan bariatrik. Tidak pernah sekalipun saya berniat melakukannya untuk cantik. Sebaliknya untuk kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Syanie, dia bersyukur kerana pembedahan pintasan usus yang dilakukan membawa banyak kebaikan dan menyelesaikan pelbagai masalah kesihatannya sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya buat keputusan yang betul. Masalah kesihatan yang saya hadapi sebelum ini satu persatu berjaya diatasi.
“Malah saya gembira dengan keputusan saringan kesihatan saya baru-baru ini. Tiada tekanan darah tinggi, kadar gula dalam darah terkawal, jantung pun sihat,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Syanie turut berkongsi hasrat untuk menurunkan lagi berat badannya sebagai persediaan jika mendapat panggilan mengerjakan ibadah haji tahun depan.
“Niat saya, kalau ada rezeki, saya nak mengerjakan haji pada tahun hadapan.
Tentu sekali saya perlu banyak berjalan nanti. Ditambah lagi keadaan di Tanah Suci yang penuh dengan jemaah dari seluruh dunia.
“Sebab itu, kalau boleh, saya mahu kurangkan lagi berat badan. Kalau dapat turunkan sehingga 120 kg pun memadai.
“Tetapi saya tahu bukan senang turunkan berat badan, tambah pula dengan selera makan saya masih tinggi. Apa pun saya kena usahakan. Mana tahu hasrat saya untuk mengerjakan haji tahun depan menjadi kenyataan,” katanya lagi. – UTUSAN