ALOR SETAR: Seorang pembantu tadbir kolej vokasional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM24,116, lima tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Saim Kasan, 55, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, penjawat awam di Kolej Vokasional Sungai Petani 2 itu didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan kerja-kerja penyelenggaraan kolej dengan menggunakan syarikat miliknya, Narinas Enterprise.
Kerja-kerja itu melibatkan penyelenggaraan perabot, bingkai tingkap dan pintu serta pemasangan jeriji besi bengkel bakeri dengan setiap pertuduhan masing-masing bernilai RM6,220; RM2,161; RM4,558 dan RM1,237.50.
Bagi pertuduhan kelima hingga kesembilan, dia didakwa melakukan kesalahan sama untuk mendapatkan suapan kerja-kerja pembekalan keperluan kolej dengan menggunakan sebuah lagi syarikat miliknya, Wes Mangan Maju Trading.
Kerja-kerja itu melibatkan pembekalan peralatan pejabat unit hal ehwal pelajar dan pentadbiran; keperluan di unit pentadbiran, unit bimbingan dan kaunseling, mesin penghancur kertas untuk pejabat pentadbiran dan sarung meja untuk bengkel bakeri yang melibatkan amaun antara RM650 hingga RM3,243.
Kesemua sembilan perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di KV Sungai Petani 2 dalam daerah Kuala Muda antara 17 Februari hingga 1 November 2020.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pada prosiding itu, pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan asal turut dibacakan ke atas tertuduh.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dan tertuduh merayu agar dikurangkan kerana perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah serta seorang ibu yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dan tertuduh membayar jaminan tersebut dengan kes ditetapkan untuk sebutan semula kes pada 13 Oktober depan. – UTUSAN










