Pemaju jangan guna alasan kes mahkamah lengahkan pembangunan Kampung Sungai Baru

Pemaju jangan guna alasan kes mahkamah lengahkan pembangunan Kampung Sungai Baru

JOHARI ABDUL GHANI ketika berucap pada sambutan Hari Tanah Negara Ke-9 Tahun 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat pemaju yang bertanggungjawab terhadap projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru diingatkan tidak menjadikan isu mahkamah sebagai alasan untuk melengahkan pembinaan dua blok kediaman yang telah tertangguh sejak lebih lapan tahun lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana penduduk terutamanya penghuni flat yang telah dipindahkan sekian lama masih menanti untuk kembali ke penempatan asal mereka seperti yang dijanjikan oleh pihak pemaju.

Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa itu, isu yang sedang dalam proses perundangan hanya melibatkan penduduk rumah teres dan tidak ada kaitan langsung dengan projek rumah flat yang telah pun dikosongkan dan tapaknya diratakan.

“Paling penting sekarang ini saya menyokong supaya pemaju cepat menyiapkan dua unit blok kediaman ini kerana penduduk yang pindah ini, sudah lebih lapan tahun, mereka nak balik tempat mereka. Jadi pemaju ini jangan mengambil peluang melengahkan pembangunan semula dengan menggunakan alasan ada kes mahkamah.

“Sebab sekarang ini sangat jelas, (pemaju) pergi ambil tanah rumah teres, nilainya penduduk tak setuju, jadi penduduk bawa pergi mahkamah untuk dapatkan nilai yang betul.

“Jadi kalau dah ada kawasan yang lapang itu, yang pemaju dah robohkan semua apa lagi pemaju tunggu, buat lah. Kenapa dia nak tunggu gunakan alasan mahkamah?” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tanah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Tanah Negara Ke-9 Tahun 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Johari yang turut memangku tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberi peringatan kepada pihak pemaju agar tidak mengambil kesempatan terhadap isu yang berlaku untuk melengahkan projek pembangunan tersebut.

“Cakap sahaja kalau tak ada duit, bagi kat UDA (UDA Holdings Berhad) suruh UDA buat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN