Pelajar yatim piatu UUM dapat pengecualian yuran

Pelajar yatim piatu UUM dapat pengecualian yuran

PUTERA Iman Shah Shahiran dibantu kakitangan UUM ketika mendaftar sebagai pelajar baharu di kampus universiti itu di Sintok, Kubang Pasu, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pelajar yatim piatu yang hadir seorang diri mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM), kelmarin akan diberi pengecualian yuran pengajian sepanjang melanjutkan pengajian di kampus itu.

Putera Iman Shah Shahiran, 19, juga akan disediakan penginapan, kelengkapan seperti komputer riba serta perbelanjaan asas yang diperlukan bagi memastikan pembelajaran berjalan lancar.

Remaja yang kehilangan ibu sejak berusia 13 tahun dan bapanya bulan lalu itu turut menerima panggilan video daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang memberi kata-kata semangat.

Zambry memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi sokongan kepada Putera Iman melalui Program Sulung iaitu inisiatif khas bagi membantu anak pertama dalam keluarga yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Beliau pada masa sama menyatakan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang pelajar itu sejak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan matrikulasi sehingga berjaya menjejakkan kaki ke universiti.

“Semangat yang cekal dalam dirinya menjadi kekuatan untuk terus belajar dan mencapai kejayaan. Teruskan usaha bagi merentas cabaran hidup dan insya-Allah pada masa hadapan mampu menjadi seorang pemimpin yang hebat.

“Terima kasih kepada Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan dan seluruh pengurusan universiti atas keprihatinan terhadap kebajikan pelajar, khususnya dalam menyediakan ruang dan peluang untuk mereka meneruskan pengajian,” katanya.

Kisah Putera Iman mendapat perhatian apabila pelajar berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Pemasaran itu menaiki kereta api seorang diri ke Stesen KTM Arau, Perlis.

Dia kehilangan bapa, Shahiran Pake Chi beberapa minggu sebelum mendaftar ke UUM manakala ibunya, Khatijah Mohd Rashid meninggal dunia pada 2019.

Putera Iman antara 4,549 pelajar baharu yang ditawarkan tempat di UUM bagi mengikuti 48 program pengajian sarjana muda bagi sesi 2025/2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN