Pelajar teratas SPM, STPM perlu laluan khas ke Universiti Awam, tidak perlu melalui UPU - Utusan Malaysia

Pelajar teratas SPM, STPM perlu laluan khas ke Universiti Awam, tidak perlu melalui UPU

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sudah tiba masanya pelajar kelompok tiga peratus teratas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diberi laluan khas ke universiti awam (UA) tanpa perlu melalui sistem permohonan Unit Pusat Universiti (UPU).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, golongan pelajar cemerlang ini mewakili aset akademik negara yang bernilai, namun saban tahun terpaksa bersaing dalam proses permohonan yang sering kali menyebabkan mereka terpinggir akibat kesilapan teknikal, kekangan maklumat atau sistem pemadanan kursus yang tidak efisien.

“Ini menyebabkan ia sering kali menjadi isu nasional yang mengundang rasa kecewa dalam kalangan ibu bapa, guru dan masyarakat yang melihat kegagalan sistem menempatkan pelajar terbaik sebagai satu kerugian besar kepada pembangunan modal insan negara.

“Sampai masanya dasar pengambilan pelajar ke UA disemak semula supaya lebih bersifat meritokratik dan responsif terhadap pencapaian luar biasa pelajar. Kita tidak boleh lagi membiarkan pelajar yang berada dalam kelompok teratas ini terlepas peluang hanya kerana sistem yang terlalu rigid dan juga tidak mesra pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Sharkar turut mencadangkan agar satu mekanisme pengesahan automatik diwujudkan bagi mengenal pasti pelajar cemerlang ini selepas keputusan peperiksaan diumumkan.

“Ini sekali gus membolehkan mereka ditawarkan tempat secara langsung dalam program berkaitan tanpa perlu melalui proses permohonan yang kompleks dan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata, ketika institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara berlumba-lumba menawarkan biasiswa dan tempat kepada pelajar terbaik Malaysia, negara ini berisiko kehilangan bakat muda hanya kerana sistem kemasukan yang gagal mengenal pasti potensi sebenar mereka.

“Lebih membimbangkan, pelajar yang memohon bidang-bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan farmasi sering kali ditawarkan kursus yang tidak selari dengan minat atau pencapaian mereka, menyebabkan motivasi merosot dan masa depan akademik terganggu.

“Sudah tiba masanya kita berhenti menyalahkan pelajar atas kegagalan sistem. Kita perlu akui bahawa sistem sedia ada tidak cukup tangkas untuk mengenal pasti dan memanfaatkan bakat terbaik negara,” tegasnya.

Langkah ini juga katanya, dilihat sebagai strategi penting untuk mengekang penghijrahan pelajar cemerlang ke luar negara, yang saban tahun menjadi pilihan utama mereka berikutan tawaran biasiswa dan pengiktirafan yang lebih tinggi terhadap pencapaian akademik.

“Setiap pelajar cemerlang yang berhijrah adalah kehilangan besar kepada masa depan negara. Malaysia tidak mampu terus membiarkan bakat muda disia-siakan hanya kerana kelemahan sistem penyampaian pendidikan tinggi,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar sistem pemadanan minat dan kursus diperkenalkan, termasuk penggunaan ujian psikometrik atau teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pelajar ditawarkan bidang yang sesuai dengan potensi dan cita-cita mereka.

Selain itu katanya, sistem rayuan juga perlu diperluas dan dipermudahkan agar pelajar yang benar-benar layak tidak terpinggir hanya kerana kesilapan kecil yang boleh diperbetulkan.

“Malaysia tidak boleh membiarkan bakat muda negara ‘dicuri’ negara lain. Kita perlu pastikan sistem pendidikan tinggi menjadi pemangkin kepada potensi, bukan penghalang,” tegasnya.

Beliau berkata, reformasi sistem kemasukan universiti bukan sahaja soal akademik, tetapi juga soal keadilan sosial dan masa depan negara yang lebih inklusif dan berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN