LUMUT: Seorang pelajar tingkatan tiga maut manakala rakannya parah apabila motosikal yang ditunggangi bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lekir, dekat sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu 10 Lekir itu, penunggang motosikal jenis skuter itu, Muhammad Hafizuddin Zafri Hazwan, 15, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara, pembonceng yang juga berusia 15 tahun mengalami patah kaki dan dirawat di Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan lanjut.
Pemandu kenderaan Proton Exora yang terlibat difahamkan turut mengalami kecederaan.
Kedua-dua pelajar dipercayai dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 10 yang terletak berdekatan, sebelum kejadian berlaku.
Kejadian dipercayai berlaku dalam keadaan jalan raya yang licin selepas hujan.
Jenazah Muhammad Hafizuddin Zafri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Wangi, Ayer Tawar, selepas solat Isyak, malam ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman, ketika dihubungi malam ini, mengesahkan kejadian tersebut. – UTUSAN










