GEORGE TOWN : Seorang penganggur dipenjara 12 bulan dan dikenakan denda sebanyak RM2,000 selepas mengaku bersalah memecah masuk pejabat Kopa Arena di Universiti Sains Malaysia (USM), bulan lepas.
Tertuduh, Mohd. Zulkifli Ghazali yang juga bekas pengawal keselamatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, hari ini.
Nadratun Naim yang memerintahkan agar hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap turut memerintahkan supaya tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan iaitu untuk tempoh tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk sebuah premis yang digunakan sebagai tempat simpan harta dengan tujuan mencuri sebuah kamera Canon IDX Mark II, kanta kamera Canon masing-masing satu jenis 100-400mm dan 24-70mm, mikrofon jenama DJI serta 14 helai jersi Penang FC milik 59 Kopa Sdn. Bhd dengan anggaran kerugian bernilai RM20,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Kopa Arena USM, Gelugor di sini, jam 5.09 pagi pada 28 Ogos lalu.
Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan dend, atau sehingga 14 tahun serta sebatan jika kesalahan yang dilakukan itu dengan niat mencuri.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) iaitu Asmeeta Rajendran.
Ketika prosiding Ahmad Danial memohon kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor jumlah kerugian dan pengajaran selain kesan daripada perbuatan itu terhadap masyarakat umum.
Bagaimanapun, Asmeeta dalam mitigasi rayuannya mahu hukuman minimum dikenakan terhadap tertuduh kerana lelaki itu tidak bekerja serta mempunyai empat orang anak untuk ditanggung.
Pada 28 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Kopa Arena iaitu sebuah syarikat yang terlibat dalam menguruskan padang sintetik serta penganjuran liga dan akademi bola sepak mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila butik mereka yang beroperasi di padang USM dipecah masuk.
Selain kamera, peralatan fotografi, wang tunai dan jersi, suspek turut melarikan sebuah kenderaan jenis Ford Raptor berlogokan Penang FC yang kebetulan diparkir berhampiran premis terbabit.
Difahamkan, kenderaan tersebut bagaimanapun dijumpai semula di Changkat Bukit Gambir, Gelugor di sini tidak lama selepas itu.-UTUSAN