PETALING JAYA: Malaysia sedang bekerjasama erat dengan pihak agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa untuk menahan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi menghadapi pertuduhan di negara ini.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini sudah mengesahkan tiada bukti kukuh yang mengaitkan keberadaan dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu di China.
“Menteri sebelum ini dalam kenyataannya juga menyatakan setakat ini dakwaan mengenai lokasi dan juga penggunaan pasport individu yang disebut itu (Jho Low) belum ditemui fakta sokongan ataupun mana-mana bukti yang sah dan sahih.
“Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM (Polis Diraja Malaysia) sentiasa menjalinkan kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa serta agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam usaha mengesan individu berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Jho Low menetap di Shanghai, China menggunakan pasport antarabangsa palsu.
Laporan itu mendakwa Jho Low yang dikehendaki dalam kes penyelewengan dana berbilion ringgit dipercayai menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Jho Low dilaporkan menetap di kawasan eksklusif Green Hills selain memandu kereta mewah dan didakwa beroperasi dari pejabatnya di Pusat Kewangan Shanghai meskipun Malaysia masih giat menuntut proses ekstradisinya.
Lebih mengejutkan laporan itu turut menyebut Jho Low kini berperanan sebagai penasihat strategik kepada Kerajaan negara berkenaan. – UTUSAN








