Pasaran harta tanah negara catat 196,000 transaksi, bernilai RM107.6 b

Pasaran harta tanah negara catat 196,000 transaksi, bernilai RM107.6 b

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasaran harta tanah negara mencatatkan lebih 196,000 transaksi bernilai RM 107.68 bilion meskipun berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang sederhana dan ketidaktentuan ekonomi global.

Angka itu berdasarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata,  bagaimanapun ia menunjukkan penyusutan marginal sebanyak 1.3 peratus dari segi bilangan, namun peningkatan sebanyak 1.9 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun 2024.

Katanya, Indeks Harga Rumah Malaysia mencatatkan 227.3 mata, degan harga purata RM490,376 seunit, menunjukkan pertumbuhan tahunan sebanyak 0.7 peratus.

“Bagi segmen harta tanah tidak terjual, unit kediaman siap dibina tidak terjual meningkat sebanyak 16.3 peratus dari segi bilangan berbanding separuh kedua 2024.

“Walau bagaimanapun, pangsapuri khidmat pula menunjukkan pengurangan sebanyak 8.6 peratus dalam tempoh sama,” katanya ketika berucap pada majlIs pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 serta Pelancaran Sistem PRISM 2.0, di sini hari ini

Amir Hamzah berkata, kadar penghunian bagi pejabat binaan khas milik swasta, menunjukkan peningkatan kepada 71.7 peratus daripada 71.6 peratus dan kompleks perniagaan pula naik dari 78.1 peratus kepada 78.7 peratus.

Katanya, keyakinan terhadap pasaran harta tanah masih kekal tinggi, dengan aktiviti pembinaan terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Bilangan unit kediaman siap dibina dan mula dibina masing-masing meningkat sebanyak 34.4 peratus dan 4.8 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, sektor harta tanah negara dijangka meneruskan momentum pemulihannya, dengan kemampuan menyerap cabaran ekonomi global melalui sokongan berterusan kerajaan.

Katanya, kerajaan melalui kerangka Ekonomi Madani terus memperkenalkan inisiatif bagi merangsang aktiviti pasaran harta tanah antaranya pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan bagi pembelian yang dibuat antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027 bagi kediaman bernilai RM500,000 hingga RM750,000.

“Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah dinaikkan menjadi RM10 bilion bagi meningkatkan akses pembiayaan pembelian rumah pertama.

“Selain itu, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 3 peratus kepada 2.75 peratus dijangka dapat meningkatkan keupayaan kewangan pembeli, sekali gus merangsang permintaan pasaran harta tanah, terutamanya dalam segmen harta tanah kediaman,” katanya.

Kata beliau, Pelan pembangunan bagi tempoh 2026-2030 yang direncanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut memberi penekanan kepada sektor harta tanah melalui sasaran membina sejuta rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Katanya, langkah ini dilihat sebagai usaha yang tepat untuk menggalakkan pemilikan rumah sendiri, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, peningkatan infrastruktur dan naik taraf lebuh raya yang dirancang dalam tempoh RMK13 seperti Lebuhraya Lingkaran Utama serta Sabah Pan Borneo Highway, dijangka menjadi pemangkin utama bagi pertumbuhan pembangunan harta tanah di sepanjang jajaran lebuh raya tersebut.

“Saya yakin, bahawa semua komitmen dan insentif yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat memberi manfaat kepada rakyat di samping membantu mendorong pasaran harta tanah mencapai prestasi yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN