BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok bernilai lebih RM10 juta dalam dua serbuan berasingan bulan lepas.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, dalam serbuan pertama pada 15 dan 20 Ogos lalu, dua buah kontena telah ditahan dan diperiksa di Westports, Pelabuhan Klang, Selangor.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kontena-kontena itu kemudian menjumpai sebanyak 25,900,000 batang rokok putih yang dianggarkan bernilai hampir RM7.8 juta.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, dagangan yang disita disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Tenggara dan dalam perjalanan untuk dieksport ke benua Afrika.
“Ketika ditahan, kontena terbabit didapati singgah di Pelabuhan Klang bagi aktiviti pindah kapal,” katanya yang memberitahu, muatan kontena berkenaan diikrar sebagai sapu tangan, tuala dan tisu dalam borang ‘Transhipment (k6) Manifest’.
Tambah Rohaizad, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan tersebut, namun, kes disiasat di bawah Seksyen 52(1), Seksyen 52(3) dan Seksyen 52(4) akta yang sama iaitu Akta Kastam 1967.
Sementara itu, beliau berkata, serbuan kedua pula dibuat di sebuah kilang berkaitan kejuruteraan di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai, Taiping, Perak pada 29 Ogos lalu.
Katanya, sebanyak 2,030,000 batang rokok putih dan 254,400 batang rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM761,484 dengan duti cukai berjumlah RM1,583,852.40 berjaya dirampas dalam serbuan itu.
“Seorang lelaki dipercayai pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” kata beliau.
Dalam perkembangan berasingan, Rohaizad berkata, sebanyak 214 kes rampasan pelbagai komoditi dengan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah lebih RM75 juta berjaya direkodkan Pulau Pinang dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, rampasan minuman keras mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 105 kes dengan nilai hampir RM3.7 juta termasuk cukai diikuti oleh rampasan rokok sebanyak 80 kes (RM26.49 juta) dan lain-lain.-UTUSAN