Nilai rampasan dadah bernilai RM1.96 bilion sepanjang 2025

Nilai rampasan dadah bernilai RM1.96 bilion sepanjang 2025

Mohd. Khalid Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM1.96 bilion dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sejak Januari hingga 14 September lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, ia membabitkan jumlah tangkapan mencecah hampir 190,000 individu melibatkan pengedar, pembekal, kurier serta penagih.

Katanya, dalam tempoh itu, sebanyak 174,134 kertas siasatan dibuka oleh JSJN.

“Keseluruhan siasatan dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

“Dalam tempoh itu, JSJN berjaya merampas dadah dalam bentuk pepejal seberat 83,305 kilogram serta 69,155.85 liter dalam bentuk cecair,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Mohd. Khalid berkata, nilai rampasan itu menggambarkan cabaran besar yang dihadapi pihak berkuasa dalam memerangi dadah.

“Jika diukur dari sudut pasaran gelap, jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1.96 bilion. 

“Angka ini menzahirkan ketegasan PDRM dalam memastikan setiap cubaan menyeludup, mengedar atau menyalahgunakan dadah digagalkan,” katanya.-UTUSAN

HABIS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×