PETALING JAYA: Penyelesaian sebenar terhadap isu beras putih tempatan hanya dapat dicapai sekiranya pendapatan pesawah dipertingkatkan agar mereka mampu menumpukan sepenuh perhatian kepada penanaman.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, cara paling berkesan adalah menjadikan penanaman padi sebagai satu bidang yang menguntungkan dengan mempertimbangkan pemberian subsidi secara terus kepada pesawah berbanding pengilang beras.
Katanya, walaupun kerajaan sering membincangkan sasaran meningkatkan tahap sara diri beras, pelaksanaan sebenar masih tidak jelas meskipun pelbagai cadangan sudah dibangkitkan sejak lebih tiga dekad lalu.
“Selama bertahun-tahun, pasaran beras putih negara terus menunjukkan keadaan pelik. Walaupun pengeluaran beras tempatan tidak berkurang, ia tetap sukar ditemui di pasaran.
“Jika kerajaan terus berdiam diri, masalah ini akan terus membelenggu tanpa sebarang penyelesaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dominic Lau berkata, terdapat empat isu utama yang menghalang peningkatan pengeluaran beras tempatan iaitu keuntungan pesawah yang terlalu rendah, ketiadaan pewaris, tanah sawah yang diambil alih untuk pembangunan serta masalah sumber air.
“Walaupun kerajaan cuba mengawal kualiti dan kestabilan bekalan melalui monopoli import beras putih, masalah asas tetap pada pendapatan pesawah yang terlalu rendah. Inilah faktor utama yang menyebabkan golongan muda enggan mewarisi perusahaan keluarga,” katanya.
Kata beliau, usaha menambah musim penanaman daripada dua kepada lima dalam tempoh dua tahun tidak akan berjaya tanpa peningkatan bekalan air, kualiti tanah, pengurusan perubahan iklim serta kawalan perosak yang berkesan.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terlalu menumpukan pada varieti benih, tetapi hasilnya belum ketara. Mengapa tidak meneliti cadangan pesawah yang mahu menggunakan benih hibrid?” soalnya.
Pada masa sama, beliau menegur Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kerana didakwa gagal memahami realiti rakyat dan operasi pasaran.
“Dulu beliau janji harga telur tidak akan naik, tetapi sebaliknya berlaku. Kini beras putih pula berdepan kekurangan, sedangkan harga antarabangsa sudah menurun sejak beberapa bulan lalu.
“Isu beras putih tidak akan selesai selagi pendapatan pesawah tidak ditambah baik selain pelaburan serius dalam teknologi automasi dan mekanisasi pertanian.
“Sebanyak mana pun cadangan pembaharuan tidak akan bermakna tanpa tindakan praktikal yang menyentuh faktor asas,” katanya. – UTUSAN










