JOHOR BAHRU: Peranan Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM) semakin penting dalam memperkasa ekosistem reka bentuk negara, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada graduan politeknik menceburi industri kreatif yang berdaya saing di peringkat global.
Pengerusi Jawatankuasa Certified Industrial Designer (CiDE), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmad Zainuddin berkata, graduan politeknik berpotensi besar menjadi tenaga kerja kreatif yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal, malah turut memiliki daya imaginasi dan inovasi tinggi.
“Ini membuktikan reka bentuk bukan sekadar seni, malah cabang ilmu yang berupaya menjana pertumbuhan ekonomi negara,” katanya semasa merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Ke-30 di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, PIS, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah PIS, Ulaimi Yahya.
Ahmad berkata, kreativiti yang digilap menerusi MRM memberi kesan langsung terhadap pertumbuhan industri kreatif tanah air yang merangkumi bidang fesyen, seni bina, grafik dan produk digital, sekali gus memperkukuhkan identiti Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 1,143 graduan PIS diraikan, terdiri daripada 29 penerima ijazah sarjana muda, 1,098 diploma dan 16 sijil kemahiran.
Jumlah tersebut termasuk seramai 328 graduan daripada Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual (JRKV) dan 141 graduan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) yang menerima skrol masing-masing.
“Golongan graduan ini diyakini mampu memperkayakan sektor industri kreatif dengan idea baharu, selain berperanan sebagai pemangkin bagi ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya. – UTUSAN