MPOC gesa EU perjelas hala tuju pelaksanaan EUDR - Utusan Malaysia

MPOC gesa EU perjelas hala tuju pelaksanaan EUDR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mempersoalkan keberkesanan Peraturan Deforestasi Kesatuan Eropah (EUDR) kerana masih tiada pelan pelaksanaan yang jelas, meskipun syarikat-syarikat dalam industri telah melabur besar dalam usaha pematuhan.

Menurut MPOB, ketidakpastian mengenai hala tuju peraturan itu kini membebankan perniagaan yang telah bertindak secara bertanggungjawab bagi memenuhi garis masa asal.

“Malaysia telah menunjukkan kemajuan besar dalam pemeliharaan hutan dan pengeluaran sawit mampan dengan data Global Forest Watch merekodkan pengurangan kehilangan hutan primer sebanyak 57 peratus antara 2015–2017 dan 2020–2022, serta penurunan tambahan 13 peratus pada 2024,” demikian menurut kenyataan.

MPOC berkata, klasifikasi risiko dalam EUDR tidak mencerminkan prestasi alam sekitar sebenar kerana Malaysia diberikan status “risiko standard” walaupun mencapai keputusan lebih baik berbanding beberapa negara anggota EU yang dikategorikan sebagai “risiko rendah”.

Justeru, MPOC menggesa EU meneliti semula sistem klasifikasi EUDR supaya lebih adil, berasaskan prestasi, memberi ganjaran kepada amalan lestari serta menyediakan laluan jelas untuk negara meningkatkan status risiko berdasarkan pencapaian. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, walaupun berdepan cabaran dalam kerangka EUDR, sektor minyak sawit Malaysia tetap komited terhadap pengeluaran mampan dan kerjasama dengan EU. 

“Namun, selagi EU tidak memahami realiti di lapangan, kami meragui sama ada peraturan ini benar-benar boleh dilaksanakan dalam bentuk sedia ada,” katanya.  

Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan pelaksanaan Peraturan selama 12 bulan sehingga Disember 2026.

Penangguhan itu memberi ruang kepada EU untuk menangani kelemahan struktur dan operasi EUDR, selain mengiktiraf kemajuan ketara Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN