PETALING JAYA: Penyanyi, Zizi Kirana, meninggalkan pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia bagi menyambung pelayaran Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke tujuan akhir, Gaza.
Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, 40, memohon maaf dan berharap agar rakyat Malaysia terus mendoakan pelayarannya yang lebih berisiko bagi memecah sekatan Israel.
“Assalamualaikum, saya dah memulakan kembali pelayaran menuju ke Gaza. Di sini saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan dan kekurangan yang pernah saya lakukan selama hidup saya.
“Mohon halalkan segalanya. Doakan kami sampai ke Gaza. Bismillah, insyaAllah,” tulisnya ringkas menerusi hantaran di Threads.
Perkongsian Zizi terus mendapat perhatian umum yang rata-ratanya mendoakan agar selebriti itu akan pulang ke tanah air dengan selamat.
“Kuatkan semangat, Zizi. Kami akan tunggu awak pulang dengan selamat,” tulis satu komen.
“Ya Allah lindungilah saudara kami dan berilah ganjaran atas kekuatannya,” tambah komen yang lain.
“Kami rakyat Malaysia tahu awak mampu lakukannya, kamu heroin kami,” tulis sorang peminat.
Konvoi GSF disertai aktivis dari 44 buah negara termasuk Malaysia, Sweden, Portugal dan Pakistan yang bergerak serentak menuju ke pantai Gaza.
Mereka membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
GSF dijangka bertemu dengan kapal lain dari Itali dan Greece di titik pertemuan di Laut Mediterranean sebelum menuju ke perairan Gaza.
Antara tokoh terkenal yang menyertai misi ini ialah aktivis iklim Greta Thunberg dan pelakon Perancis Adèle Haenel. -UTUSAN