PETALING JAYA: Tiada amaran banjir dikeluarkan secara meluas ketika hujan lebat yang melanda Selangor pada 10 hingga
15 September lalu kerana model ramalan ketika itu tidak menunjukkan sebarang indikasi berlakunya banjir di negeri berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib berkata, sepanjang tempoh berkenaan, pihaknya menerima dan menganalisis 28 amaran ribut petir daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan menghasilkan maklumat kawasan berisiko hujan lebat untuk dikongsikan bersama JPS negeri.
“Namun, model ramalan banjir ketika itu tidak menunjukkan indikasi banjir di Selangor, sekali gus menjelaskan mengapa
tiada amaran banjir dikeluarkan secara meluas,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Katanya meskipun tiada amaran rasmi dikeluarkan, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) tetap menyalurkan notifikasi semasa berkaitan aras air sungai dan hujan melalui portal Public Info Banjir yang dikemas kini setiap 15 minit dan boleh diakses orang ramai.
“Data sama turut dikongsi secara terus dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dipantau di National Disaster Command Center (NDCC),” katanya.
Mengenai kesiapsiagaan teknikal, Mohamad Radzi berkata, model ramalan banjir hidrodinamik bagi lima lembangan sungai utama di Selangor iaitu Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Buloh, Sungai Klang dan Sungai Langat telah siap dibangunkan pada 27 Jun lalu.
Katanya, model itu menjadi instrumen penting dalam memantau paras air sungai serta mengenal pasti potensi risiko banjir.
“Selain itu, daripada 104 stesen siren di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Selangor Fasa 2, sebanyak 16 stesen di Gombak dan Hulu Selangor telah dimasukkan ke dalam Public InfoBanjir.
“Hasil semakan mendapati semua stesen berstatus normal dari 1 hingga 18 September lalu. Penyelenggaraan berkala turut
dilakukan bagi memastikan sistem berfungsi secara optimum setiap masa,” katanya.
Menurutnya, PRAB Fasa 2 yang melibatkan 280 stesen di Selangor kini berada pada peringkat akhir pembangunan dan dijangka siap sepenuhnya pada 25 Oktober ini.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu adalah langkah penting dalam meningkatkan liputan serta ketepatan sistem amaran awal banjir di negeri tersebut.
“PRAB Fasa 2 akan memperkukuh lagi kesiapsiagaan menghadapi bencana alam khususnya banjir yang sering melanda kawasan berisiko di Selangor,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad Radzi berkata, JPS akan terus responsif terhadap setiap insiden bencana dengan memperkukuh kerjasama bersama agensi berkaitan agar maklumat dapat disalurkan dengan tepat dan pantas kepada rakyat.
“Kami komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dengan menambah baik sistem amaran awal bencana serta pengurusan banjir di seluruh negara.
“Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan penyampaian maklumat
tepat serta pelaksanaan langkah-langkah mitigasi yang berkesan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kewujudan sistem amaran awal bencana terutama yang membabitkan banjir,
kepala air dan tanah runtuh menjadi tanda tanya apabila rakyat terus menjadi mangsa dalam beberapa kejadian beberapa hari lalu. – UTUSAN










