MIC diminta beri penjelasan hadir perhimpunan Bersatu - Utusan Malaysia

MIC diminta beri penjelasan hadir perhimpunan Bersatu

AHMAD Zahid Hamidi menyerahkan replika kunci kepada peserta Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) pada Majlis Pelancaran Program Motivasi Desa (MODE) di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: MIC diminta memberi penjelasan secara bertulis berhubung tindakan menghantar wakil ke Perhimpunan Agung Tahunan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Shah Alam semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjelasan itu akan diminta secara rasmi oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“MIC akan diminta menjelaskan secara bertulis mengapa mereka menghantar wakil sedangkan Perikatan Nasional (PN) bukan sebuah parti gabungan BN malah merupakan pembangkang

“Kita juga menyerahkan kepada kepimpinan MIC untuk mengambil sebarang tindakan disiplin mengikut peraturan partinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Komuniti Desa (MODE)@Kemas KKDW dan Program Bakti Madani@KPT di Masjid Tuminah Hamidi Bagan Datuk, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan hadir dalam majlis itu dilihat bertentangan dengan pendirian BN yang kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Malah katanya, ia akan memberi persepsi dan menimbulkan persoalan lain kerana tidak selari dengan pendirian BN.

“Ini adalah manifestasi yang tidak baik kerana tidak sepatutnya mana-mana wakil daripada parti komponen BN menghadiri mesyuarat atau perhimpunan anjuran parti luar daripada Kerajaan Perpaduan sama ada secara individu atau rasmi,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan dilaporkan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu dan dikatakan sebagai wakil parti selepas menerima jemputan secara rasmi.

Kehadiran Kesavan itu mencetuskan tanda tanya selepas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan secara tidak rasmi dengan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC berhubung penyertaan mereka dalam PN.

Malah, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran sebelum ini dilaporkan turut menyatakan kesediaan membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain demi kelangsungan dan masa depan MIC.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN