PUTRAJAYA: Satu mekanisme agihan program Budi Madani RON95 (BUDI95) akan diperkenalkan khusus bagi warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu negara jiran terutama di Singapura.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu telah dibangkitkan kepada Jemaah Menteri dan pembangunan sistem bagi mekanisme itu akan diperkenalkan kelak.
Beliau berkata, buat masa ini, warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi menggunakan lesen memandu Singapura tidak tersenarai sebagai penerima BUDI95.
“Di bawah undang-undang Malaysia dan Singapura, seseorang individu tidak dibenarkan memiliki dua lesen memandu aktif serentak.
“Oleh itu, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura khususnya sebagai pemandu bas, lori, treler atau teksi terpaksa menyerahkan lesen memandu Malaysia mereka untuk menukar kepada lesen memandu Singapura bagi membolehkan mereka memperoleh pemegang lesen memandu vokasional (PSV) di negara itu.
“Walaupun mereka warganegara Malaysia, sistem semasa tidak dapat mengesahkan kelayakan mereka untuk subsidi kerana data lesen Singapura tidak diintegrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, Singapura tidak boleh berkongsi data tersebut atas sebab Akta Perlindungan Data (PDA) dan bidang kuasa undang-undang yang berbeza.
Namun, katanya, kerajaan mengakui golongan ini sebagai warganegara Malaysia yang layak menerima subsidi kerana mereka tinggal di Malaysia, memiliki kenderaan berdaftar di Malaysia, dan membayar cukai di Malaysia.
Bagi menyelesaikan isu ini, Loke berkata, JPJ sedang membangunkan satu sistem pendaftaran khas secara dalam talian bagi merekodkan warganegara Malaysia yang memegang lesen Singapura.
“Pembangunan sistem ini dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu, sebelum kerajaan membenarkan kumpulan ini mendaftar dan menikmati subsidi BUDI95.
“Buat masa ini, mereka perlu bersabar sementara proses teknikal disiapkan,” katanya yang menjelaskan tidak mempunyai data tepat jumlah sebenar kumpulan berkenaan. – UTUSAN