MCA, MIC terlalu lama fikir hala tuju dalam BN – Ramasamy

MCA, MIC terlalu lama fikir hala tuju dalam BN – Ramasamy

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan MCA dan MIC mengambil masa begitu lama untuk memikirkan kedudukan mereka dalam Barisan Nasional (BN) dan kemungkinan menyertai pembangkang menimbulkan tanda tanya.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P. Ramasamy berkata, setelah sekian lama setia kepada UMNO dan BN, sikap tunduk membuta tuli kedua-dua parti itu tidak lagi boleh diterima khususnya selepas kehilangan sokongan besar masyarakat Cina dan India.

“Keadaan ini bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan MCA dan MIC, tetapi kerana layanan UMNO sendiri. ‘Penghambaan’ inilah yang akhirnya membawa mereka ke keadaan malang pada hari ini.

“Sekiranya kepimpinan MCA dan MIC tidak berpuas hati dengan sekadar sisa kuasa yang dilemparkan, sejarah politik negara mungkin jauh berbeza,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ramasamy berkata, hubungan antara MCA, MIC dan UMNO kini berada pada tahap paling rendah, manakala kesediaan Perikatan Nasional (PN) menerima dua parti bukan Melayu itu juga masih belum jelas.

Beliau tidak menolak kemungkinan pembangkang sengaja mengganggu UMNO dengan menjemput MCA dan MIC walaupun kedua-duanya kini tidak lagi berupaya menarik sokongan besar masyarakat bukan Melayu.

Katanya, pemimpin MCA dan MIC juga sedar menyertai PN bukanlah langkah mudah kerana mereka berisiko kehilangan manfaat tertentu yang masih dinikmati dalam BN.

“Malah, terdapat spekulasi sebaik sahaja mereka meninggalkan BN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin segera mengetuk pintu rumah para pemimpin mereka.

“Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu bagaimana berdepan dengan pembangkang, dan pendakwaan terpilih sudah menjadi ciri utama pentadbiran semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN