KUALA LUMPUR: Pelakon, Kahoe Hon, mengakui pengalaman pertamanya berlakon bersama aktor tersohor, Shaheizy Sam, menerusi filem Badak, meninggalkan kesan mendalam dalam perjalanan seninya.
Menurut Kahoe, 31, beliau kebiasaannya tampil yakin setiap kali ke set penggambaran kerana telah melakukan persediaan rapi, namun perasaan itu berubah apabila menjayakan adegan pertamanya bersama bintang filem berkenaan.
“Selalunya saya agak yakin sebab saya suka ‘over prep’ kerja saya. Tapi hari pertama penggambaran, adegan kami di kedai dobi, saya tiba-tiba menggigil.
“Pengarah dan abang Sam sendiri tanya saya okay atau tidak, sebab ini bukan saya yang biasa. Saya sendiri terkejut,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Badak, baru-baru ini.
Tambah Kahoe, rasa gugup itu bukan sahaja disebabkan status Sam sebagai pelakon berpengalaman, tetapi juga kerana disiplin dan kesungguhan luar biasa pelakon itu dalam menjayakan watak.
“Di set, dia sangat pendiam. Rupanya, dia betul-betul masuk ke dalam karakter Badak yang bisu. Kadang-kadang saya sendiri tertanya, patutkah saya tegur ‘hai’ atau sekadar diam.
“Tapi itulah yang membuatkan saya lebih hormat padanya. Sam seorang yang sangat merendah diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Kahoe, apa yang paling mengagumkan adalah kemampuan Sam menyampaikan emosi dan cerita hanya melalui ekspresi mata yang jarang dimiliki pelakon lain.
“Mata Sam sangat berbeza, dia boleh sampaikan cerita tanpa perlu bercakap. Itu yang saya mahu pelajari.
“Sama seperti idola saya dari Hong Kong, Tony Leung, dia juga pelakon yang tak banyak ekspresi wajag tapi mata dia penuh makna. Sam pun begitu,” katanya.
Mengulas lanjut, Kahoe turut menzahirkan kekaguman terhadap dedikasi Sam yang sanggup menambah berat badan lebih 30 kilogram demi menghidupkan watak Badak.
“Satu lagi perkara tentang Sam ialah semangat dan dedikasi terhadap karakter sampai tak kisah tentang penampilan. Sama ada perlu jadi kurus, gemuk atau ada sixpack, dia buat semuanya demi watak.
“Bagi dia, yang penting watak itu hidup. Itu saya rasa kekuatan pelakon sebenar iaitu memainkan karakter, bukan sekadar menjadi diri sendiri,” jelasnya.
Dalam Badak arahan M Raihan Halim, Kahoe memegang watak sebagai Jay, seorang deejay yang turut menjadi watak penting dalam konflik cerita.
Filem ini mengangkat kisah Badak (lakonan Shaheizy Sam), seorang bapa tunggal yang pekak, membesarkan anaknya Mirah (Aida Amron) di Kampung Baru. Namun hubungan mereka diuji apabila Mirah berhasrat mengejar impian sebagai penyanyi hiphop.
Badak bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 2 Oktober ini. – UTUSAN