PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dituntut memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan silibus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya piawaian kemasukan ke universiti awam (UA).
Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze berkata, pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik, lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk oleh universiti ternama dunia.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan bahawa ramai pelajar cemerlang STPM dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 hingga 4.0 masih gagal mendapat tempat dalam kursus pilihan mereka.
“Seorang pelajar dengan PNGK penuh 4.0 dan markah kokurikulum setinggi 9.45 hanya ditawarkan pilihan kelapan
dalam sistem UPU, manakala tiga pilihan utama langsung tidak dipertimbangkan, seolah-olah diketepikan oleh sistem secara sewenang-wenangnya.
“Kami juga menegaskan bahawa silibus STPM adalah jauh lebih mencabar dan ketat berbanding program matrikulasi, serta mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Namun, pelajar STPM terpaksa bersaing di platform yang sama dengan sejumlah besar pelajar matrikulasi, sekali gus
mewujudkan ketidakadilan struktur. Keadaan ini jelas satu bentuk peminggiran sistematik terhadap pelajar STPM,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan dokumen aduan kepada Penolong Pegawai Perhubungan Awam Kanan KPT, Dayang Norakma Shaharuddin, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yi Ze berkata, pihaknya juga menggesa supaya KPT mendedahkan sepenuhnya mekanisme serta data pengagihan kursus pengajian dikendalikan sistem Unit Pusat Universiti (UPU) bagi setiap sesi pengambilan.
Katanya, pendedahan itu penting agar setiap bakal pelajar jelas memahami sebab mereka ditawarkan kursus-kursus tertentu.
“KPT perlu mengumumkan secara telus semua data dan kaedah penentuan ranking pelajar dalam sistem UPU, termasuk bilangan kuota bagi kursus-kursus popular seperti perubatan, perakaunan dan perundangan.
“Mereka juga perlu dedahkan perincian pecahan kuota mengikut aliran STPM, matrikulasi, asasi, diploma dan A-Level. Ketelusan ini penting agar rakyat dapat berperanan sebagai semak dan imbang terhadap keputusan KPT,” katanya.
Katanya, pihaknya berharap gesaan dan tuntutan itu dapat memastikan sistem pengambilan pelajar ke UA dapat benar-benar berasaskan merit, sekali gus menjamin keadilan dan ketelusan. – UTUSAN