Manfaatkan teknologi AI cegah rasuah, boleh kesan trend transaksi kewangan mencurigakan

Manfaatkan teknologi AI cegah rasuah, boleh kesan trend transaksi kewangan mencurigakan

SHAMSUL Azri Abu Bakar ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 di Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan dalam sektor awam ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, dalam konteks pencegahan rasuah contohnya, keupayaan AI dalam menganalisis ribuan data atau Big Data, membolehkan ia mengesan trend transaksi kewangan yang mencurigakan.

Katanya, ini termasuk memberikan amaran awal tentang kemungkinan berlakunya penyelewengan yang boleh membawa kepada risiko rasuah.

“Penggunaan teknologi AI dalam pencegahan rasuah juga semakin meluas di peringkat global, khususnya dalam sektor awam, perolehan dan penguatkuasaan.

“Korea Selatan, contohnya, telah memperkukuh sistem e-perolehan melalui Korea Online e-Procurement System yang menggunakan AI dan blockchain untuk meningkatkan ketulenan dokumen dan mencegah manipulasi perolehan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 di sini hari ini.

Dalam hal itu, Shamsul Azri mahu seluruh warga sektor awam bersiap siaga menghadapi cabaran tatakelola di era AI, selaras dengan sasaran Malaysia untuk menjadi negara berteraskan AI menjelang 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Katanya, di era Revolusi Industri 4.0, AI telah membawa perubahan besar dalam cara berkomunikasi, bekerja dan membuat keputusan.

Beliau turut berharap hasil penyelidikan daripada persidangan yang dianjurkan itu dapat membantu kerajaan dalam mengenal pasti isu dan cadangan penyelesaian ke arah pemantapan tatakelola yang memerlukan pendekatan bersepadu, inovatif dan inklusif untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Katanya, erdana Menteri dalam pengumuman RMKe-13 yang lalu telah menekankan tatakelola baik sebagai kunci untuk mencapai pembangunan inklusif dan mampan. Ini melibatkan pentadbiran yang cekap, telus dan adil dalam penyampaian perkhidmatan awam, serta reformasi fiskal dan transformasi digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN