PUTRAJAYA: Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan berniat jahat yang menyalahtafsirkan sokongan politik dan usaha kemanusiaan sekian lama untuk rakyat Palestin.
Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan, Malaysia konsisten dalam memperjuangkan keamanan, keadilan, serta menghormati Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ini termasuk undang-undang antarabangsa serta kewujudan bersama secara aman dalam kalangan dan antara negara.
“Prinsip-prinsip asas ini telah menjadi tunjang dasar luar Malaysia sejak kemerdekaannya.
“Selaras dengan prinsip-prinsip ini, Malaysia telah menentang sekeras-kerasnya penjajahan, pendudukan asing, pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan, serta dasar apartheid,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin demi keamanan, keadilan, kebebasan dan kemerdekaan di satu sisi.
Manakala penentangan tegas terhadap pendudukan dan genosid yang dilakukan ke atas mereka oleh rejim Zionis Israel di satu sisi yang lain adalah selaras dengan prinsip-prinsip asas ini yang diiktiraf secara sejagat.
“Malaysia akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan komuniti antarabangsa ke arah keamanan dan keadilan, serta bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin. – UTUSAN