PETALING JAYA: Rangkaian sindiket dadah sempadan yang terbina sejak dahulu menjadi faktor Malaysia terdedah kepada transit bahan terlarang itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keadaan sempadan yang luas dengan banyak lorong tikus dan jeti-jeti persendirian antara Malaysia dan Thailand.
“Ditambah kedudukan geografi yang strategik dengan pusat pengeluar dadah sekali gus Malaysia mudah untuk dijadikan negara transit dadah ke negara-negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan, siasatan awal mendapati lelaki berusia 42 tahun yang ditahan pihak berkuasa Thailand mempunyai kaitan dengan sindiket dadah yang aktif di sempadan.
Hussein berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sedang menyiasat dakwaan seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand bersama senjata api perang jenis M4 serta ratusan butir peluru di Pekan Danok, Daerah Sadao, Sabtu lalu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah di negara ini.-UTUSAN