KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bersetuju secara prinsip untuk mengecualikan beberapa produk pertanian dan makanan dari Palestin yang diimport ke negara ini daripada cukai kastam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu sekali gus membuktikan komitmen Malaysia untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya serta meletakkan asas bagi pemulihan sosioekonomi.
Beliau berkata, ia juga sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala bagi kedua-dua negara.
Katanya, Malaysia berdiri teguh di belakang Palestin untuk membantu membangunkan semula ekonominya.
“Memorandum Persefahaman (MoU) ini adalah bukti kepada visi bersama kita untuk mewujudkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang mampan khususnya dalam sektor berpotensi tinggi seperti industri halal, ekonomi digital serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Malaysia juga bersetuju secara prinsip untuk mengecualikan beberapa produk pertanian dan makanan dari Palestin yang diimport ke Malaysia daripada cukai kastam.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan Palestin bagi merealisasikan manfaat bersama yang nyata untuk rakyat kita,” katanya selepas majlis menandatangani MoU mengenai Perdagangan dan Kerjasama Ekonomi antara Malaysia dan Palestin di sini hari ini.
MoU bersejarah itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob mewakili kerajaan Malaysia, manakala Palestin diwakili oleh Duta Besarnya ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Pertukaran dokumen tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Melalui MoU tersebut, kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan zon industri, pengukuhan PKS, industri halal, pelancongan, tenaga dan ekonomi digital.
Ia turut meliputi peningkatan keupayaan melalui latihan, pertukaran kepakaran serta kerjasama sektor swasta.
Pada 2024, Palestin berada di kedudukan ke-15 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Barat.
Eksport utama Malaysia ke Palestin adalah produk berasaskan plastik dan makanan terproses, manakala import utama dari Palestin ialah produk pertanian seperti buah kurma.
Malaysia berhasrat untuk terus memperkukuh perkongsian ekonomi dengan Palestin sekali gus menyumbang kepada aspirasi pembangunan serta ketahanan negara itu, di samping memperkukuh prinsip bersama dalam solidariti dan kemakmuran. – UTUSAN










