Malaysia rai pelajar antarabangsa di sebalik tuduhan lokasi latihan Hamas - Utusan Malaysia

Malaysia rai pelajar antarabangsa di sebalik tuduhan lokasi latihan Hamas

ZAMBRY Abd. Kadir melawat pameran pada majlis penyerahan projek Kampung Angkat Madani Bendang Siam di Taiping hari ini. - UTUSAN MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Malaysia tetap meraikan kehadiran pelajar-pelajar asing untuk mengikuti pengajian di universiti tempatan termasuk dari Palestin di sebalik tuduhan liar negara ini menjadi pusat operasi anggota Hamas.
.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, melalui dasar pengantarabangsaan Malaysia menarik ramai pelajar asing dari pelbagai negara menghampiri 160 buah negara.

“Ini termasuk juga pelajar-pelajar baik dari Palestin serta negara-negara Arab yang lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan projek Kampung Angkat Madani Bendang Siam (Kambest) di sini hari ini.

Beliau mengulas tuduhan bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer yang mendakwa Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.

Setahun lalu dilaporkan, pusat pendidikan tinggi tempatan menyertai inisiatif kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin untuk menyambung pengajian di negara ini ekoran keganasan rejim Israel di negara mereka.

Zambry melihat dakwaan kononnya Malaysia menjadi pangkalan latihan Hamas adalah satu propaganda habisan-habisan pihak Israel atas keberanian negara ini menyatakan pendirian terhadap kezaliman zionis.

“Kita dari segi memberikan ruang pendidikan adalah kepada semua, termasuklah Malaysia yang menjadi tempat masyarakat antarabangsa datang untuk menimba ilmu. Jadi bukan hanya khusus kepada satu-satu negara,” katanya.

Mengenai komitmen kementeriannya membantu rakyat tempatan menyambung pengajian di universiti, Zambry berkata pelbagai langkah telah dibuat termasuk pergi mencari pelajar terbabit untuk dibantu.

“Tidak kira latar belakang kaum. Yang paling mustahak, mereka daripada keluarga susah. Siapa pun mereka kita akan berikan bantuan,” katanya.

Bermula 28 September ini, beberapa univeristi tempatan memulakan minggu orientasi mahasiswa baharu yang melanjutkan pengajian di menara gading bagi sesi 2025 dan 2026.

Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini mengumumkan akan menanggung yuran pengajian penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran selepas kisah anak tunggal yatim piatu itu tular ketika hadir seorang diri mendaftar sebagai mahasiswa baharu UUM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN